Satianathan: “Bila Saya Cakap Semua Pemain Nak Ke JDT, Saya Tak Cakap Pasal Akhyar Pun”


Ketua jurulatih Selangor FA, B. Satianathan menafikan laporan media yang mengatakan beliau bercakap mengenai Akhyar Rashid ketika memberitahu media bahawa semua pemain di Malaysia pastinya mempunyai impian untuk bermain di JDT.

Bercakap kepada Semuanya BOLA, ketua jurulatih berusia 60 tahun itu memberitahu, “Wartawan tersebut tanya saya: Adakah Selangor akan menandatangani mana-mana pemain berkaliber? Saya jawab senang sahaja.”
“Jika saya boleh mendapatkan mana-mana pemain skuad kebangsaan [untuk Selangor], dah hebat dah. Tetapi semua pemain nak pergi JDT. Bukan sebab gaji sahaja. Sebab kalau [Selangor] boleh tawarkan kenaikan gaji sekalipun, akan ada faktor-faktor lain yang akan mendorong pemain pergi ke JDT,” jelas beliau.

Satianathan kemudiannya memberitahu faktor-faktor seperti kemudahan latihan JDT yang berkelas dunia, bonus kemenangan yang kompetitif dan peuang bermain di AFC Champions League menjadi faktor penarik utama pemain tempatan bertaraf skuad kebangsaan untuk berhijrah ke juara Liga Super 5 kali itu.
“Bas [JDT] sahaja dah canggih. Maka tak hairanlah ramai pemain skuad kebangsaan nak pergi ke JDT,” katanya lagi.

Satianathan yang juga merupakan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) kemudiannya menjelaskan konteks kenyataan beliau lagi. “Saya bagi satu contoh. Saya nak Aidil [Zafuan] di Selangor sebab saya pernah melatih beliau. Tapi Aidil tak mahu keluar dari JDT kerana Selangor tiada kemudahan seperti di JDT lagi. Saya tak sebut pasal Akhyar pun.”
“Saya bercakap dalam konteks kesukaran saya untuk menarik pemain skuad kebangsaan ke Selangor yang disebabkan oleh pemain-pemain terbaik negara kita lebih tertarik ke JDT. Saya nak pemain kebangsaan sebab saya perlukan pemain terbaik untuk menang piala di Selangor,” jelas beliau lagi.
Satianathan bagaimanapun tidak menyorok minat beliau dengan bakat Akhyar untuk memperkuatkan Selangor ketika ditanya media semalam. “Hanya jika Kedah FA memberi kebenaran [berbincang kontrak dengan Selangor],” jawab beliau ringkas.
Akhyar Rashid sebelum ini dilaporkan sedang dalam proses untuk berhijrah ke JDT selepas menebus kontrak beliau bersama Kedah FA yang berbaki setahun dengan nilai RM210,000 beserta pampasan latihan sebanyak RM75,000.

Ulasan