Runding semula pampasan Akhyar


ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengakui ada kelemahan dalam perjanjian dibuat antara pemain dan persatuan sebelum ini hingga menyebabkan ada pihak terpaksa menanggung kerugian.
Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris, berkata kelemahan di peringkat penasihat undang-undang didapati wujud dalam pentadbiran persatuan sebelum ini.
Sehubungan itu katanya, pihaknya akan melakukan penstrukturan semula dalam pengurusan KFA khususnya membabitkan perjanjian dibuat demi memastikan wujudnya situasi menang-menang antara dua pihak.
"Perjanjian sebelum ini bukannya dalam situasi menang-menang kerana ada kelemahan malah saya lihat penasihat undang-undang dalam KFA juga tidak mencapai tahap seperti dikehendaki.
"Justeru kita sedang melakukan penstrukturan semua dalam pengurusan kerana apa yang kita nampak adanya kelemahan sebelum ini," katanya pada sidang media, di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan pemain muda, Akhyar Rashid menebus kontrak beliau bernilai RM210,000 kepada KFA.
Selain itu, mana-mana pasukan mahu menandatangani beliau perlu membayar RM75,000 kepada Kedah untuk pampasan latihan ataupun pembangunan.
Mengulas mengenai perkara itu, Mohd Asmirul berkata, pihaknya bersedia untuk bertemu dengan Setiausa Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam, untuk berunding berhubung jumlah yang selayaknya diterima oleh KFA.
"Adakah berbaloi seorang pemain yang kita sudah latih hingga ke peringkat antarabangsa dengan hanya RM75,000...saya bersedia berjumpa dengan wakil FAM untuk tengok kembali supaya boleh diberikan nilai berpatutan untuk KFA, " katanya.

Ulasan