RM210,000 Nilai Pampasan Penebusan Kontrak Yang FAM Tetapkan Kepada Akhyar Rasid

Dalam satu mesyuarat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 3 Disember lalu, FAM telah membuat keputusan untuk membenarkan pemain muda Kedah, Akhyar Rashid menebus kontraknya dengan nilai RM210,000.

Foto : FAM
Perkara tersebut diumumkan melalui laman sesawang rasmi FAM dan juga laman Facebook rasmi badan induk bola sepak kebangsaan, semalam.


Akhyar Rasid akan bebas untuk berunding dengan mana-mana pasukan atau kelab yang berminat untuk mendapatkannya setelah membayar penebusan kontraknya.

Selain daripada jumlah penebusan kontrak kepada KFA, badan induk itu turut mengumumkan mana-mana pasukan yang mengikat khidmat Akhyar Rashid perlu membayar RM75,000 kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebagai pampasan latihan pemain muda lincah tersebut.




Sebelum ini, Naib Presiden KFA, Anas Hafiz Mustafa mendedahkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berminat mendapatkan khidmat pemain muda ini. Tetapi tiada sebarang ‘hitam putih’ daripada pasukan Harimau Selatan kepada KFA.

Justeru, Akhyar Rashid meminta dirinya dilepaskan tetapi KFA enggan menunaikan permintaannya kerana pemain tersebut mempunyai baki kontrak bersama Kedah selama setahun lagi.

Ini menyebabkan Akhyar bertindak membawa perkara tersebut ke pihak FAM untuk menjadi ‘orang tengah’ bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

Beberapa hari kemudian, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menafikan tuduhan yang mengatakan juara Liga Super 2018 mahu mendapatkan khidmat Akhyar melalui ‘pintu belakang’ yakni tanpa rundingan dengan KFA.

Pada masa yang sama, beliau tidak menolak kemungkinan JDT mahukan khidmat pemain Akhyar jika pemain itu sendiri mahu berhijrah.

Ulasan