Pampasan Akhyar RM75,000 saja?


ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kecewa apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya menetapkan nilai pampasan RM75,000 sekiranya mana-mana pasukan ingin mendapatkan khidmat pemain mudanya, Akhyar Rashid.
Melahirkan rasa terkejut dan kecewa, Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris hairan bagaimana jumlah berkenaan dipersetujui sedangkan FAM tidak membuat rundingan secara profesional atau 'menang menang' sebelum ini.
"Bab ini kami kurang berpuas hati, adakah logik pasukan lain yang ingin mengambil pemain kami sekadar diletakkan harga RM75,000? Jumlah yang dinyatakan  itu nampak tidak sepadan dengan usaha kami dan FAM seolah-olah tidak profesional dalam hal ini. 
“Dan kami minta FAM kaji semula jumlah berkenaan yang kami anggap tidak patut. Kami tidak menyentuh bab pampasan individu Akhyar iaitu nilai tebus kontrak sebanyak RM210,000 kerana ia nilai pampasan individu dan antara Akhyar dengan kami sebagai majikan serta kontrak sehingga musim 2019.
"Yang kami pertikaikan adalah jumlah ditetapkan itu dan sepatutnya kami diberi ruang sebagai majikan dalam hal ini seadilnya, namun sebaliknya berlaku apabila FAM sendiri menetapkan jumlah RM75,000 dan bukan kami,” katanya.
Asmirul dalam kenyataan yang sama memaklumkan pihaknya akan segera mendapatkan kerjasama FAM bagi menentukan kedudukan serta hak lebih adil buat KFA.
"Kami akan hubungi FAM dengan segara bagi menyelesaikan isu harga pampasan ini dan kami mahukan rundingan segera diadakan antara FAM dan KFA bagi membincangkan semula berkaitan isu ini.
"Bagi KFA, kami rela melepaskan Akhyar seandainya pihak kami mendapat jumlah bayaran pampasan sepadan selepas rundingan diadakan," katanya.
Pada isnin lalu, Jawatankuasa Status FAM dalam mesyuarat kali kesembilan bagi penggal 2017-2021  mencapai keputusan dan memaklumkan pasukan yang menandatangani kontrak bersama Akhyar dikehendaki membayar sejumlah RM75,000 sebagai pampasan kepada pihak KFA.

Ulasan