Langkau ke kandungan utama

Mat Yat diarah lapor diri

AKHYAR RASHID

AKHYAR RASHID

KUALA LUMPUR 26 Dis. – Bintang remaja kontroversi, Muhammad Akhyar Rashid wajib melapor diri bersama skuad Lang Merah pada 1 Januari 2019 biarpun dikaitkan dengan perpindahan musim depan.
Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, Akhyar atau lebih dikenali sebagai Mat Yat masih milik mereka kerana kontrak penyerang kebangsaan itu hanya akan berakhir pada 30 November, 2019.
Begitupun, dalam usaha menyelesaikan kemelut yang sudah berlarutan sejak sebulan lalu, KFA akan bertemu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) esok bagi membincangkan tentang jumlah pampasan RM75,000 yang ditetapkan Jawatankuasa Status FAM bagi mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Akhyar.
Pada ketika KFA masih tidak gembira dengan tindakan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang didakwa mahu memancing Penyerang Terbaik Kebangsaan 2018 itu menerusi ‘pintu belakang’, tiba-tiba Akhyar dikaitkan pula dengan pasukan jiran, Perlis.
“KFA telah menghantar notis rayuan dan dibawa dalam senarai agenda Mesyuarat JK Rayuan FAM hari ini.
“Selain itu pihak pengurusan juga telah mengeluarkan notis kepada Muhammad Akhyar Rashid untuk melapor diri ke kem Hijau Kuning bermula 1 Januari 2019 setelah memberi pelepasan sejurus tamat Piala AFF Suzuki 2018 pada 15 Disember lalu. Kontrak Akhyar bersama pasukan Kedah sehingga 30 November 2019,” kata KFA dalam Facebook rasmi mereka hari ini. - UTUSAN ONLINE

Ulasan