KUALA LUMPUR: Semangat pemain import Johor Darul Ta'zim (JDT), Aaron Niguez ternyata membara apabila bertekad untuk menghadiahkan seberapa banyak trofi buat pasukan baharunya itu.
Menerusi akaun rasmi Johor Southern Tigers, pemain tengah yang juga abang kepada pemain Atletico Madrid, Saul Niguez mengakui motivasinya kini berada pada tahap terbaik dan teruja untuk berada bersama pasukan yang hebat.
"Saya sudah mula menjalani latihan bersama rakan sepasukan untuk mendapatkan keserasian. Segala-galanya berjalan lancar dan sudah pasti saya akan memberikan yang terbaik buat pasukan untuk mencapai apa yang ditetapkan oleh ‘Boss’ (Tunku Ismail Sultan Ibrahim).
"Misi utama saya di sini adalah mahu meraih kejayaan dalam Liga Juara-Juara Asia (AFC) dan mahu memenangi seberapa banyak piala di Malaysia untuk dihadiahkan kepada ‘Boss’ dan penyokong setia Harimau Selatan," katanya hari ini.
Terdahulu, pemain kelahiran Sepanyol berkenaan menjadi pemain baharu kedua yang dibawa masuk juara Liga Super lima kali berturut-turut itu bagi memperkasa pasukan menjelang saingan ACL musim depan.
Bekas pemain akademi Valencia itu akan mengisi kuota import skuad Harimau Selatan bersama pertahanan dari Brazil, Mauricio Nascimento yang menyertai pasukan, Oktober lalu.
Berdasarkan kebolehannya beraksi di beberapa posisi seperti penyerang kedua, pemain tengah menyerang, sayap kiri dan sayap kanan, sudah tentu situasi itu dilihat memberi manfaat kepada JDT khususnya dalam usaha memberi cabaran di peringkat Asia serta meneruskan dominasi bola sepak tempatan.
Sebagai rekod, sebahagian besar kariernya di Sepanyol menyaksikan dia beraksi buat Real Oviedo, Tenerife, Elche, Almeria, Recreativo de Huelva serta Celta Vigo selain pernah beraksi di luar negara seperti di Greece dan Scotland.
Dilahirkan di Elche, Aaron adalah produk daripada program pembangunan Valencia dan membuat penampilan pertamanya dalam pasukan utama pada Disember 2006 menentang kelab dari Itali, AS Roma dalam kempen Liga Juara-Juara.
Ulasan
Catat Ulasan