Langkau ke kandungan utama

Kehadiran Akhyar mampu perkukuh JDT

PENYERTAAN Akhyar Rashid (kanan) ke dalam skuad JDT dijangka dapat
PENYERTAAN Akhyar Rashid (kanan) ke dalam skuad JDT dijangka dapat membantu pemain muda itu menerima pendedahan yang lebih baik.
KUALA LUMPUR 19 Dis. – Juara Liga Super lima kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus memburu muka baharu dalam usaha mempertahankan gelaran itu, selain ingin memperkuatkan pasukan bagi mengharungi kejohanan Liga Juara-Juara AFC, musim depan.
Pengarah Sukan JDT, Martin Prest berkata, mereka sedang berunding untuk mendapatkan pemain muda Kedah, Akhyar Rashid yang kini berstatus bebas ejen, sejak dua minggu lalu.
“JDT telah memulakan rundingan bersama pemain muda berbakat, Akhyar Rashid yang kini boleh didapatkan khidmatnya secara percuma.
“Kami ingin memperkuatkan pasukan menjelang tahun bersejarah di mana Harimau Selatan akan menjadi pasukan pertama dari Malaysia yang akan bertanding pada kejohanan Liga Juara-Juara AFC,” katanya menerusi Facebook JOHOR Southern Tigers, hari ini.
Satu keputusan yang tepat jika pemain berusia 19 tahun itu memilih skuad Harimau Selatan untuk destinasi seterusnya, memandangkan mereka bakal bertanding dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL), pentas yang sama sekali akan memberi pendedahan baharu Akhyar.
JDT berada dalam Kumpulan E kejohanan Asia itu, yang bermula Februari depan dan diletakkan bersama-sama kelab Korea Selatan, Gyeongnam FC. Akhyar, menjadi tumpuan sejak beberapa tahun ini apabila tampil dengan aksi menarik dalam setiap perlawanan bersama Kedah, selain kerap menghasilkan gol-gol penting.

Ulasan