Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) telah mengarahkan pemain muda berbakat, Akhyar Rashid untuk melaporkan diri ke kem Helang Merah pada 1hb Januari 2019 walaupun dikatakan telah menjadi ejen bebas pada masa ini.
Buat masa ini, pemain yang juga dikenali sebagai Mat Yat itu diberikan pelepasan oleh KFA setelah tamat tugasan Piala AFF Suzuki bersama skuad kebangsaan.
“Pihak pengurusan juga telah mengeluarkan notis kepada Muhammad Akhyar Rashid untuk melapor diri ke kem hijaukuning bermula 1 Januari 2019 setelah memberi pelepasan sejurus tamat kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 pada 15 Disember lepas.”
“Kontrak Akhyar bersama pasukan Kedah sehingga 30 November 2019.” petikan kenyataan daripada laman Facebook Kedah FA.
Ini bermakna, Kedah FA masih lagi bertegas bahawa pemain berumur 19 tahun tersebut masih lagi menjadi milik skuad Hijau Kuning sekaligus menafikan statusnya yang telah menjadi ejen bebas mengikut dakwaan kem Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pada masa yang sama, KFA juga telah menghantar notis rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), untuk membincangkan berkenaan jumlah pampasan yang bernilai RM75,000 jika mana-mana pasukan mahu mendapatkan Akhyar Rashid.
“Sementara itu, Asmirul Anuar berkata, keputusan rayuan berhubung jumlah pampasan RM75,000 yang ditetapkan Jawatankuasa Status FAM bagi mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat pemain muda Akhyar Rashid akan diputuskan melalui mesyuarat antara KFA dan FAM, esok.” seperti dilaporkan oleh Berita Harian semalam.
Berikutan status Akhyar Rashid dikatakan telah menjadi ejen bebas, JDT telah memulakan usaha untuk berunding mendapatkan beliau. Selain itu, pasukan yang sedang dalam transformasi, Perlis FA juga menyatakan minat dan telah menemui pemain tersebut.
Kredit Foto: Kedah FA
Ulasan
Catat Ulasan