“Kebangkitan bola sepak Perlis. Syabas dan tahniah.”
Itulah reaksi pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi akaun twitter rasmi baginda terhadap bola sepak Perlis.
Usaha Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) di bawah presiden baharu, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Shafie membawa perubahan terhadap skuad dengan julukan Singa Utara bukan sahaja mendapat perhatian kalangan rakyat Perlis dan peminat bola sepak tanah air.
Ia turut mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga merupakan Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL). Tambahan pula, ia dihangatkan lagi dengan ribuan penyokong yang turun memenuhkan segenap ruang di Stadium Tuanku Syed Putra dalam satu perlawanan persahabatan pramusim pada 21hb Disember lalu.
Dalam perlawanan tersebut,skuad Singa Utara berjaya mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas pasukan Kedah menerusi jaringan daripada Hafizi Amiruddin, Safee Sali dan Nazrin Samsul Baharin.
Dan pada 28hb Disember ini, satu lagi perlawanan persahabatan pramusim telah dirangka oleh PFA menemukan Perlis dan Pulau Pinang di Stadiun Tuanku Syed Putra, pada jam 8.45 malam.
Menerusi laman facebook NorthernLions Perlis, tiket bagi menonton aksi anak buah Manzoor Azwira akan mula dijual pada jam 2.30 petang, jumaat ini. Harga bagi penonton dewasa adalah RM10 dan kanak-kanak adalah RM5.
PFA mengharapkan para penyokong Singa Utara dapat memenuhkan Stadium Tuanku Syed Putra sekali lagi dan mewarnakan Kangar dengan warna rasmi pasukan iaitu kuning!
Ulasan
Catat Ulasan