Pengurusan kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi mendahului pasukan lain dalam Liga Malaysia apabila membuat pelaburan besar untuk program sains sukan bagi memastikan prestasi pemain mereka sentiasa berada di tahap terbaik.
Sains sukan merupakan satu cabang dalam sains yang mengkaji respons manusia terhadap aktiviti fizikal. Jadi, bidang ini merangkumi kinesiologi, biomekanik, anatomi dan fisiologi, dan lain-lain topik seperti pemakanan, pengurusan sukan, sosiologi, dan psikologi dalam sains sukan.
Dalam erti kata lain, pendidikan jasmani adalah satu amalan untuk meningkatkan teknik kesukanan, manakala sains sukan adalah bertujuan menyampaikan ilmu tentang perkaitan badan dan sukan.
JDT juga merupakan pasukan yang pertama dalam saingan Liga Malaysia bakal mempraktikkan program sains sukan secara menyeluruh dengan peralatan teknologi milik mereka sendiri.
Melalui kenyataan rasmi di laman facebook JOHOR Southern Tiger (JST), pasukan juara Liga Super 5 kali itu akan menggunakan kaedah latihan fizikal yang berbeza mulai musim 2019.
Ianya akan dibantu dengan penggunaan peralatan-peralatan yang lebih berteknologi tinggi, penjagaan pemakanan yang lebih baik serta bantuan psikologi untuk membantu pemain dari aspek mental akan terus dipertingkatkan.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah membuat tempahan beberapa peralatan latihan berteknologi tinggi yang akan tiba dalam masa terdekat.
“Antara peralatan baharu yang telah tiba adalah Saliva Testing Kits, Super Inductive System, Hypervolt Vibration Massage Device, Hydrotheraphy Machine dan Smartspeed System Gates.
“Kesemua alat tersebut berfungsi untuk memantau kecergasan pemain, membina kekuatan pesakit selepas berlaku kecederaan, memulihkan kecederaan otot dan tisu lembut termasuklah berupaya mengurangkan tempoh pemulihan kecederaan seseorang pemain,” kata kenyataan itu.
Difahamkan JDT telah membelanjakan RM1.4 juta untuk program sains sukan serta mendapatkan beberapa peralatan yang terbaik dari Eropah dan juga Asia untuk membantu pemain-pemain dalam pelbagai aspek.
Pelaburan dalam aspek sains sukan ini merupakan salah satu visi dan misi pemilik kelab tersebut, DYAM Tunku Ismail bagi memastikan JDT sentiasa berada selangkah berbanding pasukan lain.
“Pelaburan yang menelan kos hampir RM1.4 juta untuk mempertingkatkan Jabatan Sains Sukan JDT ini selaras dengan usaha berterusan kelab sebagaimana visi dan misi DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor untuk memastikan JDT sentiasa terbaik di dalam dan luar padang,” kata kenyataan daripada laman facebook JST tersebut.
Ulasan
Catat Ulasan