JDT Pasukan Pertama Akan Mulakan Latihan Sebagai Persiapan Musim 2019

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) kali terakhir bermain untuk musim 2018 adalah pada 20 Oktober 2018, sebulan lebih yang lepas. Ketika itu JDT seri dengan Terengganu 2-2 yang menyaksikan JDT terkandas di separuh akhir Piala Malaysia 2018.

Kini, belum pun habis tahun 2018, JDT sudah ingin memulakan latihan sebagai persiapan menghadapi musim 2019. 


JDT diberitakan akan memulakan latihan pada hari Isnin, 03 Disember ini seperti yang telah dimaklumkan dalam laman facebook rasmi Johor Southern Tigers baru-baru ini.

Hanya 4 hari sahaja lagi, pemain-pemain akan berkumpul seperti biasa di Pusat Latihan Seri Gelam, JB. JDT sedar saingan musim hadapan lebih mencabar dari tahun-tahun sebelumnya.


Musim 2019 akan menyaksikan JDT bersaing buat kali pertama dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) peringkat kumpulan. Sebelum ini, JDT hanya bersaing di peringkat kelayakan ACL selama 4 tahun berturut-turut. Paling jauh JDT mara ke peringkat playoff menentang Gamba Osaka pada tahun 2017.

Penulis jangkakan pembukaan Liga Super Malaysia adalah pada akhir Januari 2019. Sebelum ini pernah beberapa tahun, Liga Super dimulakan seawal bulan Januari seperti 2017 yang bermula pada 20 Januari.

Penulis juga harapkan Liga Super akan bermula awal kerana ia bagus untuk JDT memantapkan pasukan sebelum bermulanya ACL 2019 pada 05 Mac 2019. Sekiranya benar, JDT boleh memanfaatkan sekurang-kurangnya 6 perlawanan Liga Super sebagai persiapan untuk perlawanan sulong ACL 2019 pada 05 Mac itu menentang pemenang playoff 4 yang berkemungkinan kelab dari Jepun di tempat lawan.

Belum pun sempat beberapa pemain JDT menamatkan saingan dalam Piala AFF Suzuki 2018, rakan pasukan JDT yang lain sudah memulakan latihan awal musim. Pemain JDT seperti Aidil Zafuan, Syamer Kutty, Farizal Marlias, Safawi Rasid, Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin dan Syafiq Ahmad masih belum tamat lagi berjuang untuk negara.

Sabtu ini mereka akan menentang Thailand dalam separuh akhir Piala AFF Suzuki 2018. Kemudian pada hari Rabu, Harimau Malaya akan bertandang ke Bangkok untuk perlawanan separuh akhir kedua pula.

Seperti beberapa musim sebelum ini, pasukan JDT masih memilih Thailand sebagai lokasi persiapan serta ujian awal musim mereka. Beberapa pasukan seperti Buriram United akan menjadi pilihan JDT untuk mengadakan perlawanan persahabatan di sana. 


Buriram United adalah satu-satunya pasukan dari Thailand yang mendapat slot automatik ke peringkat kumpulan ACL 2018. Mereka berada di dalam Kumpulan G. Manakala JDT pula dalam Kumpulan E.

Ulasan