
Kami sudah ada pemain pertahanan.
Itulah yang dinyatakan oleh Johor Darul Ta’azim (JDT) mengenai khabar angin bahawa juara Liga Super 2018 itu sedang merisik pemain pertahanan dan ketua pasukan Sabah, Rawilson Batuil untuk Liga Super 2019.
Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers menyatakan bahawa JDT sudah mempunyai pemain pertahanan muda sendiri dan tidak akan membawa masuk pemain di bahagian pertahanan.
“Terdapat sebuah laman media sosial baru-baru ini yang mengatakan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah membuat tawaran sebanyak RM65,000 sebulan kepada ketua pasukan Sabah, Rawilson Batuil.
“Kami ingin menegaskan bahawa JDT tidak ada membuat sebarang tawaran untuk mana-mana pemain pertahanan kerana kami mempunyai pemain-pemain muda seperti Dominic Tan dan Adam Nor Azlin yang kami ingin meletakkan fokus pada musim 2019.”
JDT buat masa ini sedang menyiapkan pasukan bagi mengekalkan takhta Liga Super musim hadapan dan juga penyertaan kali pertama di Liga Juara-Juara Asia. Mereka telah membawa masuk dua pemain import, Mauricio Nascimento dan Aaron Niguez dan menyatakan bahawa mereka akan membawa masuk seorang lagi pemain import dan seorang pemain tempatan baru dalam masa terdekat ini.
Ulasan
Catat Ulasan