JDT ikat Akhyar 4 tahun dengan RM12 juta klausa pelepasan

Selepas mengumumkan kedatangan pemain muda sensasi, Akhyar Rashid melalui satu video di laman Facebook JOHOR Southern Tigers, tengah hari tadi, Pengarah Sukan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Martin Prest tampil membuat satu kenyataan.
Beliau mewakili juara 5 kali Liga Super merakamkan perasaan gembira atas kejayaan menandatangani pemain berusia 19 tahun yang juga merupakan pemain skuad kebangsaan. Akhyar atau dikenali sebagai Matyat diikat selama 4 tahun dan diletakkan satu klausa pelepasan jika mana-mana pasukan berminat untuk mendapatkannya selepas daripada ini.


Selain itu, JDT turut ‘bermurah hati’ untuk membayar sebanyak RM100,000 yuran pembangunan kepada bekas pasukan Akhyar Rashid iaitu Kedah FA melebihi RM25,000 yang diarahkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
 JDT berasa gembira telah menandatangani pemain berusia 19 tahun, Akhyar Rashid dengan kontrak selama empat tahun. JDT juga telah menambah klausa pelepasan perpindahan bernilai RM12,000,000 ke atas kontrak Akhyar.
“Terdapat yuran pembangunan (development fee) sebanyak RM75,000 yang perlu dibayar kepada bekas kelab pemain tersebut, dan sebagai tanda hormat kepada pasukan Kedah yang telah membangunkan bakat Akhyar, JDT akan membayar Kedah RM100,000.” tulisnya di Facebook JOHOR Southern Tigers.
Manakala, pihak Kedah FA turut memuat naik satu kenyataan melalui laman Facebook rasmi mereka, sejurus selapas tersebarnya klip video ‘Selamat Datang ke JDT’ di laman JOHOR Southern Tigers.

 Mereka bertegas bahawa Akhyar Rashid masih terikat dengan skuad Hijau Kuning dan dikehendaki melaporkan diri untuk sesi latihan pada 2hb Januari kelak. Tambahan pula, setakat ini Kedah FA masih tidak menerima sebarang proses penebusan kontrak oleh pemain tersebut.
“KFA menegaskan Akhyar masih milik pasukan Kedah kerana setakat ini tiada proses penebusan kontrak oleh pemain dan pelepasan dilakukan menurut peraturan FAM, AFC dan FIFA.
“Sijil Pelepasan Pemain masih dibawah hak mutlak KFA dan status quo pemain kekal berkontrak sehingga 30 November 2019.
“Sebarang perlanggaran menandatangani 2 kontrak pada masa yang sama, adalah penghinaan kepada Statut FAM, pihak berkenaan akan menjadi asas aduan tatatertib oleh KFA. KFA dalam proses meneruskan tindakan di Mahkamah Timbangtara Sukan.” jelas pihak KFA.

Kredit Foto: Kedah FA

Ulasan