Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan telah memulakan rundingan bersama pemain muda berbakat daripada Kedah FA iaitu Akhyar Rashid.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengarah Sukan JDT, Martin Prest menerusi laman media sosial rasmi mereka, JOHOR Southern Tigers.
Martin Prest mendakwa Akhyar yang juga merupakan pemain skuad kebangsaan, Harimau Malaya telah diisytihar sebagai pemain bebas sejak 2 minggu lalu.
Beliau menjelaskan bahawa rundingan bersama Akhyar adalah untuk memperkuatkan pasukan Harimau Selatan yang akan bermain dalam kancah Liga Juara-Juara AFC pada musim 2019.
“Kami ingin memperkuatkan pasukan menjelang tahun bersejarah di mana Harimau Selatan akan menjadi pasukan pertama dari Malaysia yang akan bertanding di kejohanan Liga Juara-Juara AFC.” katanya menerusi JOHOR Southern Tigers.
Sebelum ini, berlaku sedikit kekecohan melibatkan Akhyar Rashid yang masih mempunyai baki kontrak 1 tahun bersama Kedah FA meminta untuk dilepaskan. Namun majikannya enggan melakukan demikian dan mahu pemain berusia 19 tahun itu menghormati kontraknya.
Beliau yang kecewa akhirnya mengadu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk dijadikan sebagai orang tengah bagi menyelesaikan kemelut tersebut.
Dan FAM, telah mengumumkan bahawa nilai tebusan kontrak Akhyar adalah berjumlah RM210,000 dan mana-mana pasukan yang mengikatnya perlu membayar pampasan latihan sebanyak RM75,000 kepada Kedah FA.
Pada 23 November lalu, Pengarah Teknikal JDT menafikan tuduhan bahawa JDT mahukan khidmat Akhyar Rashid melalui ‘pintu belakang’ iaitu tanpa rundingan dengan Kedah FA. Jelas beliau, sekiranya pemain tersebut adalah ‘free agent’ tanpa kontrak, Akhyar atau dikenali sebagai Matyat bebas berunding dengan mana-mana pasukan termasuk JDT.
Kredit Foto: FAM
Ulasan
Catat Ulasan