Jadikan Kes Akhyar Rashid Sebagai Satu Iktibar - Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd. Joehari Ayub

Sudah saban tahun berlakunya isu yang hampir serupa. Namun ia tidak diambil peduli oleh persatuan2 bola sepak dalam negara. Setiap kali timbulnya isu, setiap kali itulah mereka bertelagah tanpa menyedari untuk memperbaiki sistem kontrak antara pemain dan persatuan mereka.

Berikut laporan penuh temubual wartawan Utusan Malaysia bersama Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd. Joehari Ayub sendiri untuk mendapat penjelasan. 
================

Kontroversi perpindahan Akhyar Rashid ke Johor Darul Ta’zim (JDT) sepatutnya membuka mata semua persatuan bola sepak bahawa mereka tidak akan di­lindungi oleh kontrak mereka sendiri sekiranya tidak memahami apa yang ditandatangani.


Dalam kes Akhyar, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya membuat keputusan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan dalam Artikel 15A: Menamatkan kontrak secara sebelah pihak atau tebus kontrak oleh pasukan atau pemain, dan sebenarnya kelonggaran kontrak pemain itu sendiri membolehkan badan tersebut campur tangan.

Isu sepatutnya mungkin tidak perlu diheret kepada FAM sekiranya Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) awal-awal lagi mengenakan klausa perlepasan lebih ketat dengan mewujudkan situasi ‘menang-menang’ bagi kebaikan kedua-dua pihak.

Mengulas tindakan JDT mengumumkan Akhyar sebagai pemain mereka, malah menetapkan RM12 juta sebagai harga yang perlu dibayar mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat penyerang tersebut sedangkan kesnya bersama KFA masih tergantung, FAM tidak melihat perkara itu melanggar peraturan.

“Bagi saya Akhyar sudah bebas dan mana-mana kelab tiada masalah untuk mengambilnya selagi dia akur dengan keputusan FAM iaitu membayar kos tebus kontrak serta pampasan pembangunan.

“Ini bukan soal JDT. FAM membuat keputusan mengikut garis panduan yang ditetapkan dalam Artikel 15A: Menamatkan kontrak secara sebelah pihak atau tebus kontrak oleh pasukan atau pemain.

“Semua isu akan dibawa kepada jawatankuasa jika persatuan yang menjadi ahli gabungan gagal menyelesaikan rundingan mereka,” kata Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd. Joehari Ayub kepada Utusan Malaysia.

Akhyar, 19, diarah membayar nilai tebus kontrak bernilai RM210,000 kepada KFA manakala pasukan yang mahu membelinya perlu melunaskan RM75,000. JDT bagaimanapun setuju untuk membayar RM100,000.

Sudah hampir tiga dekad Liga Malaysia (Liga M) mema­suki era profesional iaitu bermula pada 1993, isu perpindahan dan kontrak pemain terus menimbulkan kecelaruan.

Sepatutnya pemain, persatuan atau kelab mengambil iktibar daripada kes-kes yang pernah berlaku apabila mahu menandatangani kontrak.

Pada 1993, arena bola sepak pernah digemparkan dengan isu penyerang sensasi, Azman Adnan yang enggan dilepaskan Kuala Lumpur ketika berusia 21 tahun dengan baki kontrak setahun dan mereka menutut RM1 juta daripada Selangor.

Pemain itu akhirnya dilepaskan dengan nilai le­bih rendah selepas beberapa siri perbincangan.
Pada 2013, Norshahrul Idlan Talaha terpaksa meminta campur tangan FAM selepas Kelantan enggan melepaskannya kepada JDT dan isu sama berlaku kepada Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (2016) yang mahu meninggalkan Selangor untuk ke Johor.

Ada banyak lagi kes serupa yang boleh dijadikan rujukan, namun tiga kes ini membuktikan satu perkara iaitu sistem perpindahan Liga M mempunyai kelemahan.

Bayangkan kes Azman Adnan yang berlaku pada 1993 dan kemudian berte­rusan kepada kes Akhyar menjelang 2019, ia bagaikan penyakit lama yang tidak mempunyai noktah dan berlanjutan selama 26 tahun.

Ulasan