Hadi sertai Fagiano Okayama

HADI (kanan) bersalam dengan Pengurus Besar Kelab Fagiano Okayama,
HADI (kanan) bersalam dengan Pengurus Besar Kelab Fagiano Okayama, Tokuhiko Suzuki selepas mengikat kontrak selama setahun bersama kelab Divisyen 2, J-League tersebut semalam.
PENYERANG skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak disahkan menyarung jersi kelab Divisyen 2, Liga Bola Sepak Profesional Jepun (J-League), Fagiano Okayama untuk tempoh setahun bermula semalam.
Terdahulu, Hadi pernah menjalani latihan percubaan bersama kelab tersebut sebanyak dua kali masing-masing pada September dan November lepas sebelum pasukan yang berpangkalan di Okayama menagih khidmatnya.
Pemain berusia 18 tahun itu mengakui impiannya kini tercapai selepas keinginannya untuk meluaskan pengalaman beraksi di luar negara telah diterima baik pasukan Fagiano Okayama.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira kerana telah berjaya menempatkan diri di kelab ini dan ia satu permulaan yang baik bagi saya untuk meningkatkan kemahiran diri.
“Seperti apa kita yang tahu, Jepun merupakan antara pasukan bola sepak terbaik di Asia selepas melahirkan pemain-pemain ternama dan mempunyai program pembangunan bola sepak tersusun.
“Pemain-pemain di sini sa­ngat bagus, berani belajar benda baharu dan tidak takut untuk membuat silap. Mereka mempunyai kemahiran yang baik, laju dan saya merasakan saya boleh menjadi pemain baik jika bersama mereka di Jepun,” katanya ketika dihubungi semalam.
Hadi juga menyifatkan peluang itu merupakan medan terbaik untuk meningkatkan prestasi diri dan dia amat menghargai peranan pihak Yakult Malaysia atas usaha membantunya mendapat tempat di Jepun.
“Selepas mencapai misi ini, sasaran saya seterusnya adalah untuk me­ningkatkan kemahiran yang ada agar mendapat tempat dalam kesebelasan utama bagi perlawanan akan datang.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hama­da yang membuka jalan dan membantu saya mendapatkan tempat di sini,” katanya.
Sementara itu, Hamada yakin Hadi mampu mendapat tempat bersama kelab Fagiano Okayama dan pencapaian itu merupakan hasil kerja kuatnya sepanjang latihan serta kejayaan sulung buat pemain Malaysia.
Musim ini, Fagiano Okayama menamatkan saingan Divisyen 2 J-League di kedudukan ke-15 daripada 22 pasukan, manakala juara liga pula menjadi milik kelab Matsumoto Yamaga.

Ulasan