Hadi Fayyadh dari Johor ke negara matahari terbit


Setelah dilepaskan oleh Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Hadi Fayyadh berjaya mendapatkan kontrak professional bersama kelab J2 League, Fagiano Okayama selama satu tahun. Perkhabaran ini dilaporkan oleh The Vocket pada pagi tadi.
“Alhamdulillah, saya berasa sangat gembira kerana telah berjaya menempatkan diri dalam kelab ini. lni merupakan cita-cita saya sejak kecil dan juga merupakan satu permulaan yang baik bagi saya untuk meningkatkan kemahiran diri.
“Sebagaimana yang kita tahu, Jepun merupakan antara pasukan Bola Sepak yang terbaik di Asia dan mempunyai program pembangunan bola sepak yang tersusun.
“Oleh, yang demikian, peluang yang saya perolehi ini akan saya gunakan sehabis baik demi masa depan yang lebih gemilang dalam arena bola sepak.”
Hadi yang juga merupakan penyerang skuad kebangsaan bawah 19 tahun telah dilepaskan oleh JDT untuk mengejar cita-citanya bermain di Jepun nyata gembira dengan peluang yang diberikan.


Pada masa yang sama, penyerang berketinggian 1.86m ini turut mengucapkan terima kasih kepada Yakult Malaysia yang membantu mendapatkan peluang untuk menjalani percubaan di sana sebelum mendapatkan kontrak bersama pasukan divisyen dua tersebut.
“Pemain-pemain di sini sangat bagus, berani untuk belajar benda baru dan tidak takut untuk membuat silap. Mereka mempunyai kemahiran yang baik, laju dan saya merasakan saya boleh menjadi pemain yang baik jika bersama mereka di sini”
“ Target saya seterusnya adalah untuk meningkatkan kemahiran yang ada agar mendapat tempat dalam kesebelasan utama dalam perlawanan yang akan datang. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Encik Hiroshi Hamada, Pengarah Urusan Yakult (Malaysia) Sdn Bhd yang membuka jalan dan membantu saya dalam mendapatkan tempat di sini” katanya seperti ditulis oleh The Vocket.
Berita ini turut dikongsikan oleh laman media sosial Sportflex Malaysia dengan disertakan beberapa gambar dalam satu majlis memperkenalkan pemain dari Malaysia tersebut kepada media.


Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

Ulasan