FAM BAIK HATI. KFA PERLU ‘MOVE ON’. JDT BIJAK GUNA RUANG.

FAM BAIK HATI. KFA PERLU ‘MOVE ON’. JDT BIJAK GUNA RUANG.
Jika dilihat secara keseluruhan mengenai masalah yang berbangkit berkaitan dengan isu pembelian Akhyar Rashid oleh JDT, ianya adalah di atas kelompangan kontrak pemain yang ditandatangani oleh pemain dan pasukan.
Di dalam bolasepak moden, FIFA sangat menghalang apa-apa jenis penghambaan pemain. Di dalam hal ini, Akhyar sebagai seorang pemain professional dan seorang yang bebas, berhak untuk memilih mana-mana pasukan yang beliau ingin sertai dan bermain.
Meskipun pemain-pemain diwajibkan untuk mematuhi kontrak, namun begitu ianya tidak menghalang pemain untuk mencari jalan keluar dari kontrak tersebut.
Mengikut FIFA Regulation on Status and Transfer of Player, secara jelas membolehkan mana-mana pihak di dalam kontrak berhak untuk menamatkan kontrak dengan lebih awal dengan syarat bayaran baki kontrak perlu dibayar untuk melepaskan pemain atau pasukan tersebut daripada tanggungjawab yang dipersetujui di dalam kontrak.
Tindakan FAM memberikan bayaran 'solidarity contribution/training compensation' kepada KFA adalah satu tindakan ''baik hati" yang dibuat FAM bagi tujuan untuk menyelesaikan isu ini demi mencapai 'win-win situation'. Berdasarkan kontrak yang ada di Malaysia sekarang, pemain dan pasukan boleh menamatkan kontrak sebelah pihak dengan membayar baki kontrak sehingga tamat.
Dan tiada apa-apa remedi yang boleh diperolehi pasukan lama apabila perkara itu terjadi. Disebabkan itu FAM telah memperkenalkan klausa pelepasan pada tahun 2017 untuk membolehkan pasukan baru membayar jumlah yang dinyatakan di dalam klausa tersebut dan seterusnya membuat perbincangan dengan pemain setelah bayaran tersebut dijelaskan sepenuhnya.
Pengiraan ganti rugi yang dilakukan FAM itu juga adalah lebih banyak daripada jumlah yang sepatutnya diterima oleh KFA (rujuk Artikel Annexe 4 & 5, Regulations on the Status and Transfer of Players).
Jumlah ganti rugi tersebut juga boleh mengurangkan berlakunya masalah 'tapping up' pemain yang masih mempunyai kontrak. Isu 'tapping up' ini amat sukar untuk dibuktikan.
Oleh itu, FAM mengambil langkah selamat untuk memberi 'solidarity compensation/training compensation' kepada KFA daripada keperluan untuk membuktikan wujudnya 'tapping up' pemain yang dilakukan yang sukar dibuktikan (rujuk kes Gael Kakuta, Chelsea) yang mana Mahkamah Timbang Tara Sukan membebaskan Chelsea daripada penggantungan yang dikenakan FIFA akibat melakukan 'tapping up'.
Namun begitu harus disedarkan bahawa amalan membayar 'solidarity compensation' dan 'training mechanism payment' ini, setiap pasukan yang membeli pemain perlu membayar pasukan pertama yang pemain tersebut menandatangani kontrak professional sehingga berusia 23 tahun.
Dan sistem tersebut sebenarnya memang ada di bawah FIFA. Cuma di Malaysia, mungkin ianya baru perasan ada 'regulation' seperti itu.
Apa yang tinggal sekarang, adakah KFA sanggup untuk membuat aduan kepada FIFA atau CAS sehingga menyebabkan pemain tersebut digantung?
Zhafri Aminurashid,
Peguam Undang-Undang Sukan

Foto JOHOR Southern Tigers.

Ulasan