AKHYAR RASHID
KANGAR 26 Dis. - Kontroversi yang menyelubungi penyerang remaja sensasi, Muhammad Akhyar Rashid sejak hampir sebulan lalu dijangka berakhir hari ini.
Selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, Kedah bakal mengumumkan masa depan pemain berusia 19 tahun itu bersama Lang Merah.
“Hari ini kami mengadakan perbincangan dengan Mesyuarat Jawatankuasa Rayuan FAM untuk membincangkan mengenai kedudukan Akhyar.
“KFA (Persatuan Bola Sepak Kedah) akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu esok,” kata Setiausaha KAFA, Asmirul Anuar Aris kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, dalam satu kenyataan berasingan, KFA menegaskan, Akhyar atau lebih dikenali sebagai Mat Yat masih milik mereka kerana kontrak penyerang kebangsaan itu hanya akan berakhir pada 30 November, 2019.
Begitupun, dalam usaha menyelesaikan kemelut yang sudah berlarutan sejak sebulan lalu, KFA bertemu FAM bagi membincangkan tentang jumlah pampasan RM75,000 yang ditetapkan Jawatankuasa Status badan sukan tersebut.
Pada ketika KFA masih tidak gembira dengan tindakan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang didakwa mahu memancing Penyerang Terbaik Kebangsaan 2018 itu menerusi ‘pintu belakang’, tiba-tiba Akhyar dikaitkan pula dengan pasukan jiran, Perlis.
Sementara itu, abang Akhyar, Rafdi Rashid menegaskan, adiknya mempunyai hak untuk memilih pasukan mana yang mahu diwakili.
“Ikut Akhyar nak pergi mana pun, dia ada hak untuk membuat keputusan. Sebagai abang, saya berharap dia membuat keputusan terbaik demi masa depannya,” kata Rafi yang juga Ketua Jurulatih skuad Presiden Perlis.
Ketika ditanya mengenai pasukan mana yang akan menjadi pilihan Akhyar musim depan, Rafdi memberitahu, adiknya itu belum membuat keputusan mengenainya.
Ulasan
Catat Ulasan