Alistair: “Kami Tak Perlu Jumpa KFA Untuk Dapatkan Akhyar, JDT Kecewa Dengan Media Kedah FA”


Pengarah Teknikal JDT – Alistair Edwards kecewa dengan media rasmi Kedah FA di atas maklumat yang disebarkan oleh mereka. Menurut Alistair, media KFA telah cuba memanipulasi penyokong dengan maklumat kurang tepat tentang perpindahan Akhyar Rashid.
Semalam media rasmi JDT semalam menerusi kenyataan Martin Prest – Pengarah Sukan – menyatakan JDT sedang berunding dengan pemain ejen bebas iaitu Akhyar Rashid.
Dalam kenyataan menerusi JST, Alistair berkata: “Kami terkejut melihat akaun media sosial rasmi milik Kedah FA yang cuba memanipulasi penyokong dengan menyebarkan maklumat kurang tepat – berkenaan pengumuman Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT); bahawa Harimau Selatan sedang berunding dengan pemain ejen bebas, Akhyar Rashid.”

Alistair menegaskan bahawa Akhyar Rashid adalah pemain yang sudah tidak terikat kontrak dengan mana-mana pasukan. Beliau menyatakan Akhyar adalah ejen bebas selepas pemain itu menamatkan kontrak beliau dengan Kedah.
Alistair menambah: “Kami ingin menegaskan bahawa kami tidak perlu untuk menghubungi Kedah FA kerana Akhyar adalah pemain ejen bebas selepas menamatkan kontrak beliau dengan Kedah.”
Alistair Edwards kemudiannya memberitahu JDT menghormati keputusan FAM sebelum ini yang menetapkan jumlah pampasan yang perlu dibayar bagi mendapatkan Akhyar Rashid. JDT akan membayar jumlah seperti yang dinyatakan bagi membolehkan mereka mendapatkan Akhyar Rashid.
Beliau berkata: “Pampasan yang perlu dibayar oleh JDT kepada Kedah jika Akhyar bersetuju menandatangani bersama JDT telah pun ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas rundingan yang dibuat berdasarkan undang-undang bola sepak.”
“JDT akan menghormati keputusan ini dan akan membuat bayaran yang sepatutnya jika kami mencapai perjanjian dengan Akhyar.”
Akhyar Rasdid menjadi sasaran perpindahan JDT kali ini bagi menguatkan pasukan mereka yang akan menghadapi ACL pada musim hadapan.

Ulasan