Akhyar perlu lebih profesional



Akhyar Rashid. - NSTP/Fathil Asri

KUALA LUMPUR: Kemelut yang melanda Akhyar Rashid dan ejennya, Wan Anwari Wan Amran boleh diselesaikan secara baik dengan syarat pemain Harimau Malaya itu bertindak lebih profesional.
Isu Akhyar dan Wan Anwari timbul selepas pemilik syarikat Marque Sports Management (MSM) itu mendakwa pemain Kedah berkenaan melanggar kontrak dengan mengadakan perbincangan bersama pasukan lain tanpa pengetahuannya. 


Ejen berpengalaman, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan kedua-dua pihak perlu mengadakan pertemuan bagi membincangkan jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah berkenaan daripada menjadi lebih parah.
"Pertama sekali kita kena tengok kandungan kontrak (Akhyar bersama ejen) itu, jika betul dia ada tandatangan, maka kontrak itu sah dan ejen itu ada hak ke atas pemain berkenaan,” kata Effendi.
"Jadi, apa yang mahu dilakukan termasuk berhijrah ke pasukan baharu perlu melalui ejen. Cuma kadang-kadang apa yang menjadi masalah di Malaysia ini pemain tidak faham mengenai kontrak yang ditandatangani.
"Jika berlaku kes macam ini, ejen itu boleh ambil tindakan. Tapi ia sebenarnya boleh diselesaikan dengan cara baik menerusi perbincangan kedua-dua pihak."
Kemelut perpindahan Akhyar semakin hangat selepas Kedah dikatakan tidak berpuas hati dengan nilai pampasan sebanyak RM75,000 yang ditetapkan oleh FAM jika Akhyar mahu berhijrah ke pasukan lain.
Akhyar yang dikaitkan dengan perpindahan ke Johor Darul Ta'zim (JDT) juga dibenarkan untuk menebus kontraknya bersama Helang Merah yang masih berbaki setahun dengan nilai RM210,000.
Sukan NSTP semalam melaporkan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menjelaskan semua pihak tidak boleh menyalahkan Akhyar untuk berhijrah ke JDT, itu pun jika dilepaskan Kedah.
Selain itu, Effendi yang juga Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd turut mengingatkan semua pemain untuk mematuhi peraturan dalam kontrak, selari dengan sistem bola sepak profesional.
"Saya juga pernah lalui kes seperti ini, tapi siapa yang buat salah perlu betulkan. Ini sistem bola sepak, jika kita nak menghala ke era profesional kena ikut peraturan.
“Kontrak bersama ejen sama seperti dengan kontrak yang pemain tandatangani bersama kelab, kalau kelab tak bayar (gaji) pemain marah atau tidak? Ada pemain bila kelab hubungi dia pergi (bincang) sendiri, itu tidak betul, mereka perlu memaklumkan kepada ejen,” katanya.

Ulasan