KUALA LUMPUR: Tiga anugerah utama dimenangi Safawi Rasid sudah cukup untuk dijadikan tonik terbaik buat pemain tengah Harimau Malaya itu menjelang aksi pembukaan Piala AFF berdepan Kemboja di Phnom Penh, Khamis ini.
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai, Pemain Tengah Terbaik dan Pemain Muda Harapan pada Majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018 (ABK18) yang berlangsung di ibu negara malam tadi.
Malah, pemain yang baru berusia 21 tahun itu mengakui anugerah berkenaan sudah pasti meningkatkan lagi moralnya untuk turun berdepan Kemboja dan membantu skuad kebangsaan sepanjang kempen Piala AFF.
“Bagi saya anugerah ini satu kelebihan buat saya dan menambah lagi semangat untuk terus mencipta kejayaan bersama pasukan kebangsaan di Piala AFF nanti.
“Saya pun tidak sangka akan memenangi tiga anugerah ini terutama Pemain Paling Bernilai kerana saya seperti pemain lain, kadang-kadang jadi dan kadang-kadang tidak.
“Bagi saya, tiada apa-apa aura yang saya miliki setiap kali memasuki padang, ia adalah rezeki Allah yang bantu saya beraksi dengan baik di atas padang,” katanya ketika ditemui pada majlis ABK18, malam tadi.
Kemenangan Safawi itu sebenarnya sudah dijangka berdasarkan persembahan cemerlang bersama juara Liga Super JDT, skuad bawah 23 tahun (B-23) negara dan Harimau Malaya.
Bagi anugerah Pemain Paling Bernilai, Safawi kini berada sebaris dengan pemain lain yang pernah memenangi anugerah utama itu termasuk Helmi Eliza Elias (2008), Indra Putra Mahayuddin (2009), Norshahrul Idlan Talaha (2010, 2011, 2012), Badhri Radzi (2013), Khairul Azhan Khalid (2014), Safiq Rahim (2015), Ahmad Hazwan Bakri (2016) dan Baddrol Bakhtiar (2017).
Mengulas lanjut, Safawi menyifatkan semua anugerah yang dimenangi membuktikan penghijrahannya ke JDT pada 2017 sebagai tindakan yang berbaloi.
“Saya rasa sangat berbaloi (berhijrah ke JDT) kerana semua orang tahu di sana mempunyai kemudahan yang paling bagus dan dibarisi pemain terbaik.
“Jadi, saya banyak belajar daripada pemain senior dan mereka banyak membantu saya. Terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memilih saya sertai JDT,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan