SAFIQ RAHIM menegaskan bahawa keputusannya meninggalkan JDT dibuat tanpa dipengaruhi mana-mana pihak sebaliknya atas keputusannya sendiri.
KUALA LUMPUR 7 Nov. - Bekas ketua pasukan kebangsaan Safiq Rahim menegaskan tiada sebarang individu atau perkara lain yang mempengaruhi keputusannya untuk meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Dia yang juga bekas kapten JDT memberitahu, keputusan itu dibuat atas kepentingan kelab dan dirinya sendiri.
“Jangan ada pihak yang sesuka hati membuat spekulasi sendiri sehingga memburukkan keadaan di antara dua pihak.
“Jika ada rezeki, saya akan kembali kerana JDT sentiasa membuka pintu kepada saya serta pemain lain dan saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kelab terutamanya Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang banyak membantu saya serta keluarga.
“6 tahun mungkin tidak cukup untuk saya balas budi baik Tunku dan JDT,” katanya menerusi laman Instagram miliknya.
Pakar sepakan bebas berusia 31 tahun itu sebelum ini dikatakan akan dilepaskan oleh JDT apabila lebih banyak memanaskan bangku simpanan dalam kempen musim ini dengan Benjamin Mora memilih tenaga muda Nazmi Faiz Mansur untuk mencatur permainan dari bahagian tengah.
Bekas pemain Selangor itu adalah antara barisan pemain generasi pertama dalam pasukan JDT yang diberi wajah baharu oleh pemiliknya Tunku Ismail sejak 2013.
Selain memenangi lima trofi Liga Super bersama JDT, Safiq juga memenangi Piala FA pada 2016 dan Piala Malaysia tahun lalu. Namun, pencapaian terbesarnya adalah ketika mengetuai JDT memenangi Piala AFC 2015 untuk menjadikannya sebagai pemain paling berjaya dalam sejarah kelab itu.-UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan