Sekali Lagi TMJ Mendapat Penghormatan Dalam World Football Summit Asia

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim diberi penghormatan sekali lagi untuk berucap pada Persidangan Bolasepak Dunia Asia (WFSA) yang berlangsung buat pertama kali di benua ini pada April depan.

Perkembangan itu diumumkan menerusi laman sosial Johor Southern Tigers dan juga menerusi Twitter Tunku Ismail, malam tadi.


Tunku Ismail sebelum ini pernah berucap pada Persidangan Bolasepak Dunia (WSF) di Madrid pada 2016 dan sekali lagi dijemput untuk memberikan ucapan pada tahun ini.

Berdasarkan tema ‘Di mana industri bola sepak Asia bertemu’, Tunku Ismail adalah antara tokoh yang akan memberikan ucapan pada sesi yang menampilkan tokoh bola sepak dunia terkemuka yang lain seperti Presiden La Liga, Javier Tebas serta Ketua Transformasi Digital dan Pegawai Inovasi Antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Selain itu, turut memberikan ucapan adalah Pengarah Urusan Mediapro Asia, Lars Heidenrich dan Pengarah Urusan Asia Pasifik Paris Saint Germain, Sebastien Wasels.

“WFSA memberi peluang kepada tokoh berpengaruh dalam dunia bola sepak untuk bertemu dan membincangkan topik-topik yang berkaitan selain menjana peluang perniagaan.

“Ia adalah satu platform untuk bergaul dengan golongan elit dan ternama dalam industri bola sepak.

“Saya berucap pada WSF di Madrid pada 2016 dan sekali lagi dijemput untuk berbuat demikian pada 2018.

“Ini kali pertama persidangan itu diadakan di Asia dan ini akan memberikan peluang kepada saya untuk berkongsi pengalaman menguruskan JDT serta dalam proses melangkah lebih jauh lagi untuk Harimau Selatan,” kata Tunku Ismail.

Ulasan