'Saya kekal musim depan...'


KUALA TERENGGANU: Penyerang sensasi Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche mengesahkan akan terus kekal bersama skuad itu pada musim depan.
Pengumuman pemain kelahiran Ivory Coast yang digelar 'Drogba Ganu' itu menamatkan spekulasi penghijrahannya sebelum ini bersama pasukan lain selepas bersetuju dengan kontrak baharu yang ditawarkan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).
"Ya saya akan kekal semusim lagi bersama skuad TFC sehingga 2019 kerana gembira dan berminat dengan perancangan masa depan yang lebih sistematik pengurusan skuad ini.
"Selain itu, TFC memberikan rasa kecintaan yang saya perlukan dan PBSNT menunjukkan minat bersungguh-sungguh untuk dapatkan khidmat saya," kata pemain berusia 30 tahun itu kepada Sukan NSTP hari ini.
Sebelum ini, Tchetche yang muncul sebagai penjaring terbanyak saingan Piala Malaysia musim ini dengan sembilan gol meminta tempoh 'bertenang' biarpun sudah ditawarkan kontrak oleh PBSNT bersama Lee Tuck, Igor Zonjic dan Thierry Chantha Bin.
Tempoh berkenaan diperlukan pemain itu susulan mendapat tawaran daripada beberapa pasukan lain dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan selain ingin menilai semula kontrak baharu daripada PBSNT itu.
Ketika ditanya pasukan mana yang menawarkan khidmatnya musim depan, bekas penyerang kelab Al-Suwaiq (Liga Oman) itu enggan mendedahkannya.
"Saya tidak tahu skuad mana kerana pasukan berkenaan berurusan dengan ejen saya, tapi itu tidak penting kerana saya sudah menyatakan persetujuan untuk bersama dengan peminat setia TFC pada 2019," katanya yang bertekad berusaha lebih keras musim depan untuk memenangi trofi kejuaraan.

Ulasan