Safiq Rahim Bakal Kembali Ke Selangor Musim Depan?


Bekas kapten skuad kebangsaan dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim kemungkinan akan kembali menyertai Selangor musim depan menurut sumber daripada Stadium Astro.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh jurulatih baharu Selangor, B. Satiananthan yang turut mengesahkan berjaya mendapatkan enam muka baru pemain tempatan.
Malah, beliau turut mengakui memang ada rundingan di antara pihak Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dengan Safiq Rahim namun enggan mengesahkan sama ada pemain tengah itu akan bersama Selangor atau tidak.
Baru-baru ini timbul khabar angin mengatakan Safiq Rahim berminat untuk menyertai Kedah musim depan. Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Anas Hafiz Mustafa  memberitahu, Safiq Rahim menawarkan dirinya untuk menyertai skuad Lang Merah itu.
Namun begitu, KFA menegaskan buat masa ini mereka tidak berminat untuk mendapatkan khidmat Safiq Rahim. Ia sekaligus menafikan desas-desus bahawa KFA berminat mahukan pemain tersebut.

Safiq Rahim ketika mewakili JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2017  menentang Kedah.
Setakat ini, Selangor hanya mengumumkan kemasukan bekas pemain Kedah, Syazwan Zainon, yang kini bersama skuad kebangsaan untuk kempen Piala Suzuki AFF.
8 Muka baharu bakal perkuatkan gergasi merah musim depan
Menurut Satiananthan, difahamkan lima pemain tempatan baru dengan dua daripada mereka bekas pemain Terengganu, akan diumum dalam masa terdekat.
“Ada lagi seorang pemain yang cuba saya bawa semula ke Selangor dan kalau ia berjaya, ini akan memudahkan kerja saya.
“Ada lima lagi pemain tempatan serta tiga nama pemain asing, jadi semuanya mungkin lapan muka baru. Mereka tidak begitu muda tetapi sudah memiliki pengalaman,” katanya.
Beliau turutu membayangkan penjaring terbanyak Liga Super 2018, Rufino Segovia, mungkin akan kekal selain masih mempertimbangkan kedudukan pemain import dari Indonesia, Evan Dimas.

Rufino Segovia mungkin akan kekal semusim lagi dengan skuad Selangor. FOTO: FAS
“Sekarang ramai ejen dan semua menghantar nama. Kalau saya tidak tutup telefon, tidak dapat tidur.
“Semua meletakkan pemain dalam kelas dunia atau terhandal. Itu satu cabaran yang mungkin besar kerana untuk mendapatkan pemain tepat, ia bukan mudah,” jelas Sathianathan.

Ulasan