Langkau ke kandungan utama

Safiq, JDT berpisah

SAFIQ RAHIM

SAFIQ RAHIM

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Bekas ketua pasukan kebangsaan Safiq Rahim sah berpisah de­ngan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas enam musim bersama pasukan itu, dan membantu Harimau Selatan memenangi Liga Super lima kali berturut-turut sejak 2014.
Pakar sepakan bebas ber­usia 31 tahun itu sebelum ini dikatakan akan dilepaskan oleh JDT apabila lebih banyak memanaskan bangku simpanan dalam kempen musim ini dengan Benjamin Mora memilih tenaga muda Nazmi Faiz Mansur untuk mencatur permainan dari bahagian tengah.
Bekas pemain Se­langor itu adalah antara barisan pemain generasi pertama dalam pasukan JDT yang diberi wajah baharu oleh pemiliknya Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak 2013.
Selain memenangi lima trofi Liga Super bersama JDT, Safiq juga memenangi Piala FA pada 2016 dan Piala Malaysia tahun lalu. Namun, pencapaian terbesarnya adalah ketika mengetuai JDT memenangi Piala AFC 2015 untuk menjadikannya sebagai pemain paling berjaya dalam sejarah kelab itu.
Maka, tidak hairanlah Tunku Ismail memberi penghargaan begitu tinggi terhadapnya.
“Pada pandangan ikhlas saya, beliau merupakan pemain paling berjaya dalam kelab bola sepak JDT dan membantu Harimau Selatan mencapai matlamat kami. Pemain paling berjaya, kapten terbaik dalam sejarah JDT dan pemain bola sepak terbaik yang bukan sahaja memberi sumbangan kepada JDT tetapi juga kelab seperti Selangor dan skuad kebangsaan,” titah Tunku Ismail dalam catatan terbaharu baginda di laman Facebook JDT - Johor Sou­thern Tigers.
Tunku Ismail bertitah pintu di Johor sentiasa terbuka untuk pemain kelahiran Selangor itu kembali bersama kelab pada masa hadapan.
Selain pelbagai trofi dan kejayaan peribadi bersama JDT dan sebelumnya Selangor, Safiq yang dikhabarkan akan berhijrah sama ada ke luar negara atau PKNS Selangor untuk meneruskan kariernya musim depan merupakan ketua pasukan negara yang menjuarai Piala AFF 2010 dan meraih pingat emas bersama skuad Bawah 23 dalam Sukan SEA 2009 di Laos.

Ulasan