PEMENANG anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 (ABK18), Safawi Rasid percaya perpindahannya dari T-Team yang kini dijenamakan sebagai Terengganu FC II (TFC II) ke kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) tahun lalu menjadi pemangkin kariernya lebih cemerlang.
Anak kelahiran Dungun, Terengganu itu berjaya membolot tiga anugerah utama ABK18 iaitu Pemain Muda Terbaik, Pemain Tengah Terbaik dan MVP, sekali gus menepati ramalan peminat-peminat bola sepak tempatan.
Safawi, 21, mahu memberikan penghargaan kejayaan memenangi anugerah MVP itu kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas kepercayaan baginda terhadap potensi dirinya.
“Saya rasa sangat berbaloi (berhijrah ke JDT) kerana semua orang tahu di sana mempunyai fasiliti paling bagus dan dibarisi pemain terbaik.
“Jadi, saya banyak belajar daripada pemain senior dan mereka banyak membantu saya. Terima kasih kepada Tunku Ismail kerana memilih saya sertai JDT,” katanya kepada pemberita pada Majlis ABK18 di ibu negara kelmarin.
Safawi dinobatkan sebagai MVP berdasarkan pencapaiannya bersama JDT yang menjuarai Liga Super, skuad bawah 23 tahun yang layak ke pusingan suku akhir kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee termasuk skuad Harimau Malaya yang dibimbing Tan Cheng Hoe.
Safawi kini sebaris dengan pemain lain yang pernah memenangi anugerah utama itu termasuk Helmi Eliza Elias (2008), Indra Putra Mahayuddin (2009), Norshahrul Idlan Talaha (2010, 2011, 2012), Badhri Radzi (2013), Khairul Azhan Khalid (2014), Safiq Rahim (2015), Ahmad Hazwan Bakri (2016) dan Baddrol Bakhtiar (2017).
Dalam perkembangan sama, Safawi mahu kejayaan itu bakal dijadikan suntikan terbaik untuk beraksi cemerlang bersama skuad kebangsaan yang bakal mengharungi kempen Piala AFF Suzuki 2018 dengan menentang Kemboja di Phnom Penh malam esok.
“Bagi saya anugerah ini satu kelebihan dan menambah lagi semangat untuk terus mencipta kejayaan bersama pasukan kebangsaan pada Piala AFF Suzuki nanti.
“Saya tidak menyangka akan memenangi tiga anugerah terutama MVP kerana saya beraksi seperti pemain lain, kadang-kadang jadi dan kadangkala tidak menjadi.
“Bagi saya, tiada apa-apa aura yang saya miliki setiap kali memasuki padang, namun ia adalah rezeki Allah yang bantu saya beraksi dengan baik di atas padang,” ujarnya.
Ulasan
Catat Ulasan