Safawi paling bernilai, JDT dominasi ABK18



Pemain JDT, Muhammad Safawi Rasid, bersama Anugerah Pemain Paling Bernilai, Pemain Terbaik dan Pemain Muda Harapan, Ketika Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK2018) di Hotel Pullman, Bangsar. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Pemain tengah Harimau Malaya, Safawi Rasid merangkul anugerah Pemain Paling Bernilai pada Majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018 (ABK18) yang berlangsung di sini, sebentar tadi.
Kemenangan Safawi itu sebenarnya sudah dijangka berdasarkan persembahan cemerlang bersama juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), skuad bawah 23 tahun (B-23) negara dan Harimau Malaya.


Anak jati Terengganu itu kini berada sebaris dengan pemain lain yang pernah memenangi anugerah itu termasuk Helmi Eliza Elias (2008), Indra Putra Mahayuddin (2009), Norshahrul Idlan Talaha (2010, 2011, 2012), Badhri Radzi (2013), Khairul Azhan Khalid (2014), Safiq Rahim (2015), Ahmad Hazwan Bakri (2016) dan Baddrol Bakhtiar (2017).
Pemain JDT, Muhammad Safawi Rasid, bersama Anugerah Pemain Paling Bernilai, Pemain Terbaik dan Pemain Muda Harapan, dan Penjaga Gol JDT, Farizal Marlias, bersama anugerah Penjaga Gol Terbaik, Ketika Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK2018) di Hotel Pullman, Bangsar. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Safawi yang mula menyertai JDT pada 2017 turut mendominasi ABK18 apabila memenangi dua anugerah lain - Pemain Tengah Terbaik dan Pemain Muda Harapan.
Dua lagi pemain JDT, Farizal Marlias dan Hariss Harun turut membanggakan skuad Harimau Selatan apabila masing-masing terpilih merangkul anugerah Penjaga Gol Terbaik dan Pemain ASEAN Terbaik.
Selain mengungguli anugerah utama kategori pemain, JDT turut memenangi empat hadiah lain termasuk Pasukan Terbaik, Penyokong Terbaik, Media Sosial Terbaik dan Laman Web Terbaik.
Juara Piala Malaysia, Perak turut meraih dua anugerah apabila Mehmet Durakovic muncul pemenang kategori Jurulatih Terbaik dan kapten mereka, Shahrul Saad pula mengungguli anugerah Pertahanan Terbaik.

Bintang muda Kedah, Akhyar Rashid memenangi anugerah Penyerang Terbaik manakala Rufino Segovia dari Selangor dinobatkan sebagai Pemain Import Terbaik.
Pemain Perak, Shahrul Saad, bersama anugerah Pertahanan Terbaik Ketika Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK2018) di Hotel Pullman, Bangsar. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Rufino turut menceriakan pasukan Red Giants apabila memenangi anugerah kasut emas selepas meledak 31 gol sepanjang musim ini.
Senarai pemenang ABK18
Pemain paling bernilai - Safawi Rasid (JDT)
Penjaga gol terbaik - Farizal Marlias (JDT)
Pertahanan terbaik - Shahrul Saad (Perak)
Pemain tengah terbaik - Safawi Rasid (JDT) 
Penyerang terbaik - Akhyar Rashid (Kedah)
Pemain muda harapan - Safawi Rasid (JDT)
Jurulatih terbaik - Mehmet Durakovic (Perak)
Pemain paling popular - Lee Tuck (Terengganu FC)
Pemain import terbaik - Rufino Segovia (Selangor)
Pemain ASEAN terbaik - Hariss Harun (JDT)
Kasut emas - Rufino Segovia (Selangor - 31 gol)
Penjaring terbanyak Liga Super - Rufino Segovia (Selangor - 31 gol)
Penjaring terbanyak pemain tempatan Liga Super - Shafiq Shaharudin (Kelantan - 6 gol)
Penjaring terbanyak Liga Perdana - Casagrande (FELCRA FC - 19 gol)
Penjaring terbanyak pemain tempatan Liga Perdana - Bobby Gonzales (Sarawak - 13 gol)
Pasukan terbaik - JDT
Penyokong terbaik - JDT
Media sosial terbaik - JDT
Laman web terbaik - JDT
Anugerah Fair Play - Melaka United

Ulasan