PUSAT LATIHAN PADANG SERI GELAM - MEDAN PERSIAPAN PASUKAN KE LIGA JUARA-JUARA AFC

PUSAT LATIHAN PADANG SERI GELAM - MEDAN PERSIAPAN PASUKAN KE LIGA JUARA-JUARA AFC
Pemain dan barisan kejurulatihan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) kini sedang bercuti setelah mengharungi musim yang panjang bersama-sama. Mereka akan kembali menjalani latihan pra-musim pada awal bulan Disember nanti.
Untuk mempersiapkan pasukan menghadapi Liga Malaysia dan juga Liga Juara-Juara AFC 2019, JDT mempunyai kelebihan kerana memiliki pusat latihan canggih yang mampu membantu pemain mempersiapkan diri mencapai tahap kecergasan yang diperlukan.
Pusat Latihan Padang Seri Gelam turut dilengkapi dengan pelbagai fasiliti sains sukan dan alatan bantuan latihan khusus yang terbaik untuk membantu pemain mencapai tahap stamina yang dituntut oleh era bola sepak moden.
Bermain bola sepak moden pastinya memerlukan pemain untuk cergas sehingga 120 minit. Dan perkara ini hanya boleh dicapai dengan bantuan jurulatih kecergasan yang berpengalaman dan juga peralatan bantuan latihan yang moden dan lengkap.
Dengan gimnasium moden dan kolam bagi rawatan pemulihan, sesi 'recovery' pemain akan menjadi lebih cepat dan oleh itu segala kecederaan boleh pulih dalam tempoh yang lebih pantas sekaligus mencerahkan peluang bermain semula lebih awal.
Pemain JDT juga akan dipersiapkan untuk menghadapi cuaca sejuk ketika bertandang ke tempat lawan. Bukan mudah untuk pemain yang sudah biasa bermain dalam cuaca khatulistiwa menyesuaikan diri dengan cuaca yang kadang-kala menghampiri tahap beku.
Pusat latihan tertutup yang ada boleh digunakan dalam apa jua keadaan cuaca sekaligus tidak mengganggu proses latihan pasukan. Pelbagai jenis permukaan padang yang tersedia juga memberikan kelebihan buat pasukan menyesuaikan diri berdasarkan padang pihak lawan.
Pemain JDT juga dibekalkan dengan pelbagai alatan yang mampu menaikkan prestasi mereka. Setiap pemain dikehendaki memakai alatan 'catapult sports'. Alatan ini akan menyimpan rekod data pemain dari sudut kecergasan, pergerakan pemain, tahap latihan untuk rujukan jurulatih kecergasan.
Kebanyakan pasukan yang bertanding di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC juga mempunyai pusat latihan dan alatan seperti ini. Kini giliran JDT pula untuk memulakan cabaran dan dengan adanya Pusat Latihan Padang Seri Gelam, segala persiapan dilihat tersusun dan JDT sedia menggegar Asia. Luaskan Kuasamu Johor.
Sumber artikel: Media JST

Ulasan