Pencabar JDT masih misteri



PENGARAH pertandingan, Shin Man Gil menunjukkan kertas undian yang diundi oleh pemain Kelab Kashima Antlers, Daiki Iwamasa (kiri) pada majlis undian di ibu pejabat AFC, hari ini. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) masih belum dapat mencongak peluang mereka dalam penampilan sulung kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan meskipun majlis undian selesai hari ini.
Ia kerana tiga lagi pencabar dalam Kumpulan E Timur hanya akan diketahui selepas saingan Liga Korea Selatan berakhir serta pemenang playoff ACL diketahui pada 19 Februari depan.


Pada majlis undian di ibu pejabat AFC hari ini, JDT yang layak beraksi selaku juara Liga Super akan berdepan wakil ketiga dari Korea Selatan, pemenang playoff 4 membabitkan kelab keempat Jepun, Newcastle Jets (Australia), Home United (Singapura) dan juara Liga Indonesia.
Satu lagi pasukan akan ditentukan menerusi pemenang playoff 2 membabitkan kelab keempat dari China, Bangkok United (Thailand) dan Hanoi FC (Vietnam).
Menurut pengurus JDT, Luciano Figueroa, mereka akan membuat persiapan rapi untuk mengharungi pertandingan elit kelab Asia itu.
“Kami sedar ACL amat sukar, ia saingan tahap tinggi jadi kami perlu bersedia untuk berikan yang terbaik.
“Kami akan cuba memberikan saingan terbaik, membuat persiapan rapi serta tunjukkan kemampuan kami kerana kejohanan ini penting buat kelab. Ia sejarah baru buat kelab dan Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian itu.
Saingan peringkat kumpulan akan bermula pada 4 Mac depan sebelum memasuki pusingan kalah mati pada 17 Jun.
Sementara itu naib juara Liga Super, Perak yang beraksi pada pusingan kelayakan kedua diundi bertemu kelab dari Hong Kong, Kitchee di Ipoh pada 12 Februari depan.
Jika mengalahkan juara Liga Hong Kong itu, anak buah Mehmet Durakovic mungkin berdepan wakil keempat dari Korea Selatan pada 19 Februari depan bagi merebut slot ke peringkat kumpulan ACL.
Jika melepasi halangan playoff, skuad The Bos Gaurus akan bersaing dalam Kumpulan H bersama kelab Sydney FC (Australia), Kawasaki Frontale (Jepun) dan Shanghai SIPG (China).
ACL adalah saingan kelab elit Asia yang mula dianjurkan pada 2002 dengan kelab Jepun Kashima Antlers muncul juara edisi terakhir mengalahkan Persepolis FC dari Iran 2-0 secara agregat 2-0 pada final awal bulan ini.

Ulasan