MERAH BIRU, SELAMANYA TIDAK AKAN TERPISAH

MERAH BIRU, SELAMANYA TIDAK AKAN TERPISAH
Musim dua ribu lapan belas menutup tirai, alegori naratif Liga Malaysia akhirnya terlerai. Bercampur baur suka duka dalam perjuangan, termanifestasi kandis indah dalam kenangan.
Sebermula Piala Sumbangsih kita bawa langkah kanan, sayangnya piala FA dan Piala Malaysia terlepas dari dakapan, namun Tunku optimis dengan segala keputusan, lalu segera korektif kekurangan dan juga kelemahan, proposisi formula menghasilkan jalan ke arah kebangkitan.
"Kejayaan terbesar kita bukanlah kerana tidak pernah gagal, tetapi bagaimana kita bangkit setiap kali kita mengalami kegagalan" - DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Kebangkitan!
Tunku telah menyatakan kita harus segera bangkit dan jangan terlalu gundah, namun telah diingatkan bahawasanya kebangkitan bukan sesuatu kerja yang mudah.
Kebangkitan pasti akan bertemu dengan pelbagai masalah, yang menjadi penyebab sebahagian kita hampir mengaku kalah manakala yang kuat hatinya masih sanggup merangkak tidak mahu menyerah.
"Jangan biarkan satu kedukaan menghancurkan seratus kegembiraan. Manusia perlu merasai kepahitan yang paling pahit utuk menjadi terunggul dalam kalangan paling unggul. Tanpa kesedihan manusia tidak akan mengetahui perasaan gembira, tanpa penderitaan pasti tiada kejayaan."
Akhirnya dipenghujung kancah Liga Super Malaysia, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya merangkul kejuaraan kelima. Empat puluh tujuh mata buat tangga kedua berputih mata. Lima tahun Harimau Selatan gah berada di puncak singgahsana.
"Satu hilang, dua terbilang"
Masih segar dalam ingatan, beberapa perkara yang jadi keresahan, setiap hari diserang kiri dan kanan. Ada sahaja isu dijadikan modal punca perbalahan.
Berbagai cara mereka kerah berusaha, seringkali Tunku menjadi mangsa, segala perkara cuba dimanipulasi, dengan harapan hati kita dipalit sekelumit sangsi.
"Mereka memang mahu melihat kita berpecah belah. Mereka memang inginkan kita semua berbalah."
Namun agitasi mereka hanya sia-sia, kuatnya tiga puluh gigi karnivora mereka paranoia, walau dihidang berkoyan-koyan tohmah juga fitnah, ikatan kekeluargaan ini masih tidak termusnah.
Kita terbiasa berjalan berseorangan tanpa ada sokongan, hakikatnya kita masih mampu bertahan menghadapi semua dugaan. Bersama kita rebah, bersama juga kita redah. Tidak sedikit pun kita goyah, walaupun hancur semangat ini diratah mentah.
"Selamat jalan lagenda"
Sudah resam dunia, tidak semua perkara akan abadi selamanya, setiap pertemuan pasti ada perpisahan, dengan pemergian beberapa pemain kita harus relakan, lumrah tidak selamanya mereka ini terus berkekalan.
Namun segala jasa mereka jangan pernah kita lupakan, tidak akan pudar tetap segar dalam ingatan, sekali merah biru selamanya merah biru inskripsi jadi ukiran, walau berlainan lencana, kalimat ini tidak boleh dihapuskan.
Perpisahan bukanlah pengakhiran sebuah perjalanan, tetapi langkah awal mencari kebahagiaan. Selamat jalan dan semoga sentiasa berjaya, ada rezeki di bumi Jauhar kita pasti bertemu semula.
"Terima kasih"
Dikesempatan ini, ingin saya ucapkan sekalung tahniah kepada seluruh penyokong Harimau Selatan, kerana merangkul anugerah penyokong terbaik di Anugerah Bolasepak Kebangsaan. Anugerah itu tanda unggulnya kesetiaan, akhirnya yang tidak bermahkota sekali lagi berjaya dimahkotakan.
Juga ribuan terima kasih atas sokongan yang anda berikan, kepada seluruh warga halaman rasmi lidah Harimau Selatan, kerana interprestasi yang tidak berbelah bagi, semangat kami menjulang tinggi.
Akhir kalam,
Satu cabaran getir yang menunggu pada musim hadapan, bakal membuat palpitasi Harimau Selatan laju dalam degupan. Kita bakal mencetak pengalaman yang baharu, kecemerlangan pentas ACL pula akan cuba kita buru, walaupun menjadi juara itu seperti kenyataan karikatural, tetapi koordinasi perjuangan itu operasional.
Maka,
Jangan mengalah jadikan objektivisme, meluaskan kuasa harus kolektivisme, biar bertongkat dagu bila kaki patah, panji tanah Jauhar pastikan berkibar megah.
"Jika kita boleh bermimpi mengenainya, kita pasti boleh melakukannya. Kita akan berjaya, tidak kira berapa lama masa yang perlu diambil"- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Merah itu darahmu, biru itu nyawamu.
Dayung sudah ditangan, perahu sudah di air,
Elok kata dalam muafakat, buruk kata luar muafakat.
Sumber artikel: Media JST

Ulasan