Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengesahkan penyerang muda berbakatnya, Akhyar Rashid memohon untuk dilepaskan kerana telah dilamar oleh Juara Liga Super 2018, Johor Darul Ta'zim (JDT).
Naib Presidennya, Anas Hafiz Mustafa berkata, kontrak pemain kebangsaan itu bersama Kedah masih lagi berbaki sehingga musim 2019 namun rundingan di antara kedua-dua pihak sudah pun berjalan.
Menurutnya, proses rundingan telah dibawa oleh Akhyar ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai perantara untuk memuktamadkan keputusan akhir.
"Jika mengikut FAM, kami mempunyai 10 hari bermula hari ini (semalam) untuk menyelesaikan rundingan ini. FAM menjadi orang tengah di antara KFA dan pasukan baru Akhyar untuk mendapatkan kata putus," katanya sidang media KFA berhubung persiapan pasukan tersebut bagi musim hadapan, semalam.
Anas Hafiz berkata, Kedah belum menerima sebarang permohonan rasmi dari mana-mana kelab untuk mendapatkan khidmat Akhyar namun pemain itu sendiri yang memohon untuk keluar dari pasukan tersebut.
"Kami tidak menerima sebarang hitam putih dari pasukan tersebut cuma pemain yang minta dilepaskan kerana masih lagi mempunyai kontrak setahun dengan KFA," katanya lagi.
Ulasan
Catat Ulasan