KFA Tidak Puas Hati Dengan Nilai Bayaran Pampasan Kontrak Akhyar Rashid


Isu penghijrahan Akhyar Rashid ke pasukan lain terus menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan dan terkini Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dilaporkan tidak puas hati dengan nilai pampasan kontrak yang bakal diterima oleh mereka.
Menurut laporan daripada Sinar Harian, nilai tersebut tidak setimpal dengan apa yang telah dilakukan KFA yang telah mengilap bakat pemain berkenaan sehingga menjadi rebutan oleh pasukan lain.
Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar berkata, jumlah pampasan kontrak tersebut sepatutnya ditentukan oleh KFA bukannya FAM atau pasukan yang mahu khidmat bintang muda itu.
“Saya ada melihat draf tersebut pagi tadi (semalam) dan mengakui nilainya begitu kecil jika dibandingkan dengan apa yang dilakukan oleh KFA terhadap pemain tersebut sejak 2014 dan masih mempunyai baki kontrak setahun.
“Kami tidak puas hati di mana jumlah pampasan telah ditentukan dan bukannya dari KFA. Mungkin ada penasihat di belakang tapi itu kami tidak kisah. Sepatutnya Kedah yang buat keputusan kerana kami adalah majikan pemain,” katanya.

Akhyar ketika ini bersama skuad kebangsaan menghadapi kempen Piala Suzuki AFF FOTO: AFF
KFA ajak pasukan yang mahukan khidmat Akhyar Rashid berbincang
Mohd Asmirul turut mengesahkan pihaknya sudah menerima panggilan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk berbincang dan akan menunggu kata putus daripada badan induk tersebut yang menjadi pengantara.
Namun begitu, beliau juga berharap pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Akhyar tersebut datang berunding dengan pihaknya supaya segala urusan dapat dipermudahkan.
“Kalau betul dia (Akhyar) nak keluar dari pasukan Kedah, sepatutnya pasukan yang berminat dengannya datang terus untuk berbincang berhubung pampasan kontrak pemain tersebut,” jelasnya.
Dalam sidang media rasmi KFA pada 22 November 2018, pihak KFA mengesahkan Akhyar Rashid telah pun dilamar oleh sebuah pasukan gergasi yang pernah menjuarai Piala AFC. Namun proses tersebut masih belum menemui kata putus.

Selain itu, KFA turut memberitahu pihak mereka kini hanya ada 10 hari sahaja lagi untuk menyelesaikan isu tersebut.
“Jadi kalau diikutkan kepada FAM punya kata putus, bermula daripada tarikh hari ini (22 November), kami ada 10 hari untuk menyelesaikan kes Akhyar.
“Dan mungkin FAM akan jadi orang tengah ataupun perantara untuk kami dan pasukan baru Akhyar untuk mendapatkan kata putus.” kata Naib Presiden KFA, Anas Hafiz Mustafa.

Ulasan