Pengarah teknikal JDT, Alistair Edwards menyangkal tuduhan kononnya kelab itu berminat menandatangani kontrak dengan pemain prolifik Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid tanpa persetujuan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
Edwards bagaimanapun mendedahkan bahawa juara Liga Super itu tidak menawarkan apa-apa kontrak kepada Muhammad Akhyar kerana sedar pemain berbakat berusia 19 tahun itu masih dalam kontrak dengan KFA sehingga akhir tahun depan.
“Kami kesal dengan tuduhan itu hanya kerana seorang pemain mahu menamatkan kontraknya.
"Sekiranya Akhyar tidak terikat, dia bebas untuk berunding dengan mana-mana kelab yang dia mahu termasuk JDT,” katanya dipetik sebagai berkata dalam catatan terkini halaman Facebook.
Beliau menjawab beberapa laporan berita bahawa Muhammad Akhyar ingin menamatkan kontraknya sekarang memandangkan beberapa kelab berminat untuk mendapatkan khidmatnya berikutan prestasinya yang luar biasa dengan skuad senior negara dan juga skuad muda kebangsaan termasuk skuad bawah 19 tahun.
Muhammad Akhyar membawa kesnya itu ke FAM beberapa hari lalu selepas dia dan KFA gagal mencapai persetujuan.
FAM dijangka membuat keputusan tidak lama lagi.
- Bernama
Ulasan
Catat Ulasan