KUALA LUMPUR: Reputasi juara Liga Super lima kali, Johor Darul Ta'zim (JDT) terus melonjak apabila muncul sebagai pasukan terbaik Asia Tenggara (ASEAN) selepas menghuni tangga ke-23, Ranking Kelab Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Menerusi laman sesawang www.footyrankings.com, JDT konsisten mengutip mata selepas terbabit dalam saingan Piala AFC dan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL), sekali gus menghimpun 48.70 mata sepanjang empat tahun lalu.
Dengan pungutan mata terbabit, skuad bimbingan Benjamin Mora itu berjaya mengatasi beberapa gergasi bola sepak ASEAN yang lain, seperti pasukan dari Thailand, Buriram United (ke-28) dan Muangthong United (ke-44).
Lebih membanggakan, pencapaian juara Piala AFC 2015 itu turut memintas kedudukan pasukan ternama dari Asia, khususnya dari Jepun dan Korea Selatan yang menyaksikan Kawasaki Frontale berada dua tangga di belakang JDT, sementara Ulsan Hyundai di tangga ke-26.
Malah, pasukan yang mengecewakan JDT pada separuh akhir Piala AFC 2016, Bengaluru FC berada pada kedudukan ke-32.
Sementara pasukan yang menyingkirkan JDT pada separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC tahun lalu, Ceres Negros menghuni kedudukan ke-48.
Dengan JDT mencipta sejarah selaku pasukan pertama dari negara ini yang akan bersaing di ACL bermula musim depan, tentunya situasi ini akan membantu meningkatkan lagi ranking skuad Harimau Selatan di benua Asia.
Beberapa pasukan dari Malaysia turut menempatkan diri dalam senarai terbabit ialah Pahang di tangga ke-95 dengan 12.99 mata, Selangor di tangga ke-108 dengan 9.66 mata, sementara FELDA United (114) dengan 8.66 mata.
Secara keseluruhan, pasukan dari Qatar, Al-Duhail menjadi pasukan terbaik di Asia selepas menghimpun 116.00 mata, diikuti pasukan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al-Ain dengan 109.14 mata.
Manakala tempat ketiga dihuni kelab dari China, Guangzhou Evergrande yang mengutip 105.28 mata.
Ulasan
Catat Ulasan