JDT intai bintang import ketiga

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan sedia mengikat seorang lagi pemain import dalam masa terdekat bagi menghadapi kempen Liga Malaysia musim depan.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, selepas kejayaan mengikat dua awang import baharu iaitu Mauricio Nascimento dan Aaron Niguez, skuad Harimau Selatan itu bersedia menambah seorang lagi pemain bagi memperkukuhkan pasukan.


“Kami akan menandatangani seorang lagi pemain luar negara yang saya sendiri mengikuti perkembangannya selama setahun kerana kami tidak mampu ketika itu.
“Alhamdulillah tahun ini lebih sesuai untuk kami membelinya. Kami akan menyelesaikan proses menandatangani pemain luar negara dan seorang pemain tempatan yang baharu dalam masa terdekat,” katanya menerusi laman rasmi Facebook kelab Johor Southern Tigers, hari ini.
JDT yang muncul juara Piala AFC 2015 akan membuat kemunculan sulung di pentas tertinggi kelab Asia apabila menyertai Liga Juara-Juara Asia musim depan.
Beberapa perubahan dalam pasukan sedang diusahakan termasuk rombakan pemain bagi memantapkan pasukan menjelang musim depan.
Tunku Ismail juga membayangkan penyokong JDT berpeluang menyaksikan perlawanan di stadium baharu yang dijangka siap tahun depan dengan penanaman rumput sedang dilakukan.
“Projek stadium baharu kami dan pembinaan ibu pejabat JDT berjalan lancar. Kakitangan kami yang menguruskan padang sudah memulakan kerja mereka di stadium baharu.
“Semua projek kami adalah projek jangka masa panjang dan ia bukan setakat ini saja tapi banyak lagi perancangan kelab yang tersusun selepas ini,” katanya.

Ulasan