Adakah JDT bakal berbelanja besar untuk musim hadapan?
Juara Liga Super 2018, Johor Darul Ta’azim nampaknya memandang serius cabaran mereka di Liga Juara-Juara Asia musim hadapan.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau lebih dikenali sebagai TMJ dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook rasmi pasukan, Johor Southern Tigers telah mendedahkan bahawa JDT akan menandatangani seorang pemain import lagi selepas mendapatkan Mauricio dos Santos Nascimento dan Aarón Ñíguez.
“Saya ingin berkongsi maklumat kepada para penyokong semua bahawa kami telah berjaya menandatangani dua pemain luar negara baharu iaitu Mauricio dos Santos Nascimento dan Aarón Ñíguez. Kami juga akan menandatangani seorang lagi pemain luar negara yang saya sendiri telah mengikuti perkembangan beliau selama setahun kerana kami tidak mampu ketika itu dengan harga pemain tersebut yang tidak berada dalam peruntukan kelab. Alhamdulillah pada tahun ini adalah lebih sesuai untuk kami menandatangani beliau. Kami akan menyelesaikan proses menandatangani pemain luar negara ini dan seorang pemain tempatan yang baharu dalam masa terdekat.”
Setakat ini masih tiada khabar siapakah pemain import yang akan ditandatangani oleh JDT, tetapi bagi pemain tempatan, antara nama yang menjadi sebutan sejak kebelakangan ini adalah bintang muda skuad kebangsaan dan Kedah, Akhyar Rashid.
JDT akan beraksi dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pada musim depan. Setakat ini hanya satu pasukan yang sudah diketahui iaitu kelab Korea Selatan, Gyeongnam FC dengan dua pasukan lain bakal ditentukan selepas pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia.
Ulasan
Catat Ulasan