Isu ‘Transfer Request’ Akhyar Rashid, Gambaran Kelemahan Sistem Perpindahan Pemain Di Liga Malaysia


Ke manakah hala tuju Akhyar Rashid selepas ini? Semalam peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan pendedahan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengenai status Akhyar.

Akhyar dikatakan melakukan permohanan pindah (transfer request) kepada pihak pengurusan KFA untuk membenarkan beliau menyertai kelab bola sepak Johor Daru Ta’zim (JDT) bagi saingan Liga Malaysia musim 2019.
Ianya menjadi isu kerana Akhyar dikatakan masih mempunyai kontrak selama setahun bersama pasukan dari utara tanah air itu.


Kredit: KFA, Facebook
Bukan kes baharu
Isu pemain yang masih memiliki ikatan kontrak ingin menyertai pasukan lain bukan perkara baru di saingan Liga Malaysia. Malah jika disingkap, perkara sebegini telah pun bermula sejak dari era semi pro lagi.
Bekas penyerang negara, Azman Adnan turut terpalit dengan isu perpindahan serupa ketika mengambil keputusan meninggalkan Kuala Lumpur untuk menyertai Selangor pada 1993. Azman yang berusia 21 tahun pada ketika itu masih lagi mempunyai baki kontrak selama setahun bersama Kuala Lumpur pada ketika itu.

Sumber: Zairudin Hj Hashim
Sebelum permulaan musim 2013, Norshahrul Idlan Talaha juga berhadapan isu yang sama setelah penyerang negara di Piala AFF Suzuki itu mengambil keputusan untuk meninggalkan Kelantan untuk menyertai JDT. Kes Norshahrul mengundang campur tangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas ianya berlarutan agak lama. Pemain itu kemudiannya diarahkan untuk membayar sejumlah pampasan untuk menebus kontrak bersama Kelantan yang masih berbaki 13 bulan.
Pada musim lalu kita juga melihat pemain pertahanan muda negara, Rodney Kelvin turut mempunyai isu yang sama setelah meninggalkan kem Sarawak untuk menyertai PKNS FC bagi saingan musim 2018. Rodney dikatakan tidak mendapat pelepasan oleh Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) kerana pemain itu telah bersetuju untuk menyambung kontrak bersama juara Liga Perdana Malaysia 1997 – sebelum mengambil keputusan menyertai PKNS FC di akhir musim. Namun kemelut tersebut dikatakan diselesaikan secara dalaman oleh ketiga-tiga pihak demi masa depan pemain tersebut.


 Norshahrul Idlan Talaha
Ada banyak lagi kes serupa yang boleh dijadikan rujukan. Namun tiga kes ini membuktikan hanya satu perkara. Sistem perpindahan Liga Malaysia mempunyai kelemahan sehingga ianya terus berlarutan. Bayangkan kes Azman Adnan yang berlaku pada 1993, sehingga ke kes Akhyar Rashid menjelang musim baru 2019. Ia bagaikan penyakit lama yang tidak mempunyai noktah dan telah berlanjutan selama 26 tahun.
Di dalam kebanyakan kes (seperti Norshahrul dari Kelantan ke JDT) – ianya akan dirujuk kepada FAM untuk menjadi perantara jika tiada penyelesaian mampu dicapai oleh mana-mana pihak mengenai status seseorang pemain.
Mengapa JDT tidak melakukan rundingan dengan KFA?
Sebenarnya saingan domestik di negara ini tidak mempunyai sistem khusus untuk dijadikan panduan seperti di luar negara. Mari kita ambil contoh kes Akhyar. Secara logik dan norma yang menjadi amalan di kebanyakan negara di Eropah – perkara ini sepatutnya straight forward dan mudah.
Akhyar adalah pemain yang dimiliki oleh Kedah secara kontrak. Bakat yang dimiliki oleh pemain ini sudah tentu akan mengundang minat oleh pasukan-pasukan lain untuk mendapatkan khidmat beliau. Itu adalah norma biasa di dalam industri bola sepak di mana-mana negara.

Akhyar cuba melepasi Natxo Insa dari JDT.
JDT pula adalah kelab yang didakwa berminat untuk mendapatkan khidmat Akhyar Rashid. Jika berdasarkan sidang media oleh KFA semalam – JDT masih belum mengemukakan permohanan rasmi kepada KFA. Mengapakah juara lima kali berturut-turut Liga Super Malaysia ini tidak menghubungi KFA untuk melakukan rundingan dan melakukan proses kebiasaan seperti di Eropah?
Anda mungkin menuding jari kepada JDT untuk fiasco ini. Hakikatnya, JDT tidak melanggar sebarang peraturan pertandingan- jika aspek teknikal pertandingan dibincangkan. Malah mereka sebenarnya bebas untuk berbuat demikian.

Foto: AFF Suzuki
Di dalam kes Akhyar Rashid ini, bukan sahaja JDT boleh menyatakan niat untuk mendapatkan khidmat pemain ini. Malah mana-mana pasukan di Liga Malaysia yang berminat untuk mendapatkan khidmat Akhyar adalah bebas untuk menghubungi pemain itu dan menyatakan hasrat mereka.
Sistem perpindahan bola sepak di Liga Malaysia
Dalam kebanyakan kes, rata-rata pemain bola sepak profesional di Liga Malaysia diikat dengan kontrak jangka pendek – untuk tempoh satu atau dua tahun.
Ketika kontrak tamat di penghujung musim, pemain bebas untuk menyertai pasukan lain tanpa sebarang isu. Pemain juga boleh memilih untuk kekal jika mereka terus berada di dalam perancangan pasukan untuk musim berikutnya.

Namun demikian, terdapat ramai juga di kalangan pemain di Liga Malaysia mempunyai kontrak jangka masa panjang – sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga tahun. Isunya akan timbul apabila ada pasukan lain yang cuba mendapatkan khidmat seseorang pemain di musim kedua atau seterusnya ketika pemain tersebut masih memiliki baki kontrak bersama pasukan lama.

Jika di Eropah, perkara sebegini tidak akan timbul. Ini kerana wujudnya peraturan yang dinamakan Peraturan Bosman (Bosman Rule). Di bawah peraturan ini, sesebuah kelab akan didakwa melakukan kesalahan jika cuba untuk memancing pemain lain yang masih mempunyai baki kontrak lebih dari enam bulan.
Seseorang pemain hanya dibenarkan mencapai persetujuan untuk menyertai pasukan lain selepas baki kontrak pemain tersebut berbaki enam bulan. Persetujuan yang dimaksudkan di atas hanya meliputi kepada butiran kontrak bersama pasukan baru. Malah pemain itu masih tidak dibenarkan untuk beraksi dengan pasukan baru itu sehinggalah kontrak bersama pasukan lama tamat sepenuhnya.
Berikut adalah butiran Peraturan Bosman yang lain:
  • Tidak ada yuran perpindahan dikenakan untuk pemain yang akan pergi selepas kontrak tamat. Sebelum itu, kelab boleh meminta bayaran pampasan dan juga menjual pemain ke kelab lain.
  • Kelab tidak berhak menghalang pemain untuk mendapatkan kontrak dengan pasukan lain dan kelab juga tidak berhak meminta sebarang pampasan daripada perpindahan pemain ataupun gaji pemain.
  • Kelab di Eropah diberikan kebebasan untuk memiliki pemain-pemain daripada negara Eropah (EU) yang lain. Kerana itulah kelab-kelab di Eropah menggunakan kesempatan untuk mendapatkan ramai pemain dari negara EU.
Anda boleh membaca artikel mengenai Peraturan Bosman secara terperinci melalui pautan yang disediakan.
Peranan MFL dan anggota
26 tahun sejak isu perpindahan Azman Adnan dari Kuala Lumpur ke Selangor adalah satu tempoh yang lama. Landskap bola sepak negara pada hari ini juga sudah turut berubah. Sepatutnya di dalam tempoh itu, pengertian profesional yang sebenar-benarnya juga sudah berevolusi seiring dengan masa. Jika benar kita serius tidak mahu perkara sebegini dari terus berulang, sesuatu jelas perlu dilakukan.
Antara perkara yang boleh dilakukan ialah penggubalan peraturan perpindahan pemain khas oleh Malaysian Football League (MFL) dan FAM selaku badan pentadbir dan penganjur pertandingan bola sepak di dalam negara. Perkara ini boleh dilakukan dengan cadangan dan persetujuan oleh persatuan-persatuan yang merupakan wakil di dalam MFL dan FAM itu sendiri.
Jika ahli gabungan dan anggota terus berdiam mengenai perkara ini – ia juga bermakna mereka tidak kisah kes-kes sebegini dari terus berulang musim demi musim. Peraturan Bosman seperti yang dinyatakan diatas  boleh menjadi sumber rujukan dan digubal mengikut kesesuaian perjalanan pertandingan domestik di negara ini. Mungkin sudah sampai masanya undang-undang khusus untuk perpindahan pemain dilakukan demi masa depan dan nama baik bola sepak negara.
Konklusi
Apa perlunya penglibatan FAM di dalam kes Akhyar Rashid? Sebenarnya Akhyar tidak perlu berbuat demikian jika sistem perpindahan pemain di negara ini mempunyai garis panduan yang jelas. Ini mungkin satu unpopular opinion bagi sebahagian pemerhati dan penyokong bola sepak tempatan. Melibatkan FAM di dalam isu sebegini hanyalah tindakan terdesak dan naif – sama ada ianya dilakukan oleh pemain atau pasukan.
Pokok pangkalnya jelas. Kita tidak ada sistem. Kita tidak pernah ada undang-undang khusus untuk perpindahan pemain di dalam liga domestik yang kita mahu lihat maju dan setanding dengan saingan domestik – sekurang-kurangnya dianggap terhebat di rantau ini. Tetapi kita sentiasa ada pilihan. Adakah kita mahu menghadapi isu yang sama saban musim, atau bertindak melakukan sesuatu agar terma ‘profesional’ itu bukan sekadar laungan jalanan?
Nota editor: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis mengenai kemelut perpindahan pemain yang sering melanda bola sepak negara saban musim, dan tidak mewakili pandangan Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.

Ulasan