Langkau ke kandungan utama

Harimau Selatan nafi berminat kelibat Akhyar


PENGARAH teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT), Alistair Edwards menyangkal dakwaan kononnya kelab itu berminat untuk menandatangani kontrak dengan pemain prolifik Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid tanpa persetujuan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
Edwards bagaimanapun mendedahkan, bahawa juara Liga Super itu, tidak menawarkan apa-apa kontrak kepada pemuda berbakat berusia 19 tahun itu kerana mereka sedar bahawa pemain tersebut masih dalam kontrak dengan Kedah hingga akhir tahun depan.
“Kami kesal dengan tuduhan itu hanya kerana seorang pemain mahu menamatkan kontraknya. Sekiranya Akhyar tidak terikat, dia bebas untuk berunding dengan mana-mana kelab yang dia mahu termasuk JDT,” katanya dipetik sebagai berkata dalam catatan di laman Facebook JDT, Johor Southern Tigers.
Beliau menjawab beberapa laporan berita bahawa Akhyar ingin menamatkan kontrak dengan skuad Helang Merah memandangkan beberapa kelab berminat untuk mendapatkan khidmatnya berikutan prestasinya yang luar biasa dengan pasukan senior negara dan skuad muda kebangsaan termasuk skuad bawah 19 tahun.
Akhyar membawa kesnya itu ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) beberapa hari lalu selepas beliau dan Kedah gagal mencapai persetujuan dan FAM dijangka membuat keputusan tidak lama lagi.

Ulasan