EMPAT PERKARA YANG PERLU DIBERI PERHATIAN SEBELUM SAINGAN ACL 2019 BERMULA

EMPAT PERKARA YANG PERLU DIBERI PERHATIAN SEBELUM SAINGAN ACL 2019 BERMULA
Sejarah baru bola sepak tanah air telah terlakar pada musim ini setelah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya meraih kejuaraan Liga Super Malaysia untuk kali kelima berturut-turut.
Kejayaan ini adalah satu pencapaian yang sukar ditandingi oleh mana-mana pasukan tempatan yang lain. Kini, mengimplementasikan aspirasi dalam kancah cabaran Liga Juara-Juara AFC (ACL) untuk musim 2019 menjadi misi utama Harimau Selatan.
Berikut adalah empat perkara yang perlu diberi perhatian oleh JDT untuk mula bersaing dalam pertandingan ACL.
1. Menyingkirkan Perkara-Perkara Negatif
Seluruh Keluarga JDT perlu bersikap optimistik. Segala impresionistik atau tanggapan yang negatif ke atas JDT perlu disingkirkan. Jangan hiraukan kata-kata delusi negatif yang menyatakan kelab ini tidak perlu bersusah payah mencuba kerana pasti akan menemui kegagalan.
2. Komunikasi Positif Daripada Penyokong
Komunikasi positif daripada penyokong adalah salah satu daripada pendorong kejayaan pasukan ini. Ia merupakan satu faktor utama dalam menambah keyakinan diri ke atas seluruh pengurusan, jurulatih dan pemain bila mana mereka berdepan dengan pasukan-pasukan hebat dari seluruh Asia.
Dengan sokongan dan kata-kata positif dari seluruh penyokong Harimau Selatan, ia mampu menjadikan tiada perkara yang mustahil untuk dicapai oleh JDT.
3. Mengubah Ideologi Konvensional Bola Sepak Tanah Air
Sejak tahun kejatuhan bola sepak tanah air, seluruh pemerhati bola sepak menyatakan bahawa setiap pasukan yang mewakili negara ini pasti mudah diperkotak-katikkan oleh pasukan atau kelab dari negara Asia yang lain.
JDT perlu sedaya upaya membuktikan bahawa penyertaan di ACL 2019 adalah platform terbaik untuk menambah pengalaman dan keupayaan supaya lebih berjaya pada masa akan datang.
DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor pasti akan mempersiapkan kelab ini dengan membawa masuk pemain-pemain yang berkualiti tinggi untuk bersaing dengan kelab-kelab kuat Asia.
4. Menggubah Impian Kepada Matlamat Dan Realiti
Cipta impian dan jadikan ia satu matlamat yang perlu dicapai. Apabila mempunyai matlamat, kita perlu berusaha sedaya upaya supaya ianya menjadi kenyataan. Jangan biarkan impian berterusan menjadi fantasi.
Sebuah impian akan menjadi kenyataan bukan kerana keajaiban, tetapi kerana usaha dan keyakinan diri. Maka dengan kesedaran itu, seluruh keluarga ini perlu saling menyokong dalam menjadikan impian kepada matlamat. Impian JDT berjuang di kancah ACL telah menjadi realiti.
Kini, JDT mula berganjak kepada impian baru iaitu melangkah jauh dalam kancah ACL kelak. Untuk merealisasikan impian itu, JDT perlu berusaha berdiri sama tinggi dengan kelab-kelab gah Asia supaya matlamat menjadi kuasa baru Asia menjadi realiti.
Akhir kata, adakah anda semua sudah bersedia menyambut kedatangan kelab-kelab gergasi Asia ke rumah kita?
Sumber artikel: Media JST

Ulasan