ACL 2019 - PENTAS TERBAIK PENYOKONG JDT PERAGA SEMANGAT DAN KESETIAAN
Ketika Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal menempa sejarah beraksi di Liga Juara-Juara AFC tahun hadapan, penyokong Harimau Selatan terutama Boys of Straits (BOS) sudah mula membuat perancangan untuk menakluk Asia.
Penglibatan penyokong Harimau Selatan di peringkat Asia sebenarnya bukanlah benda baru. Fakta ini tidak boleh disangkal apabila mereka sering memeriahkan ‘venue’ lawan ketika saingan Piala AFC dan kelayakan ACL.
Namun kali ini ianya adalah satu pentas yang lebih besar. Pentas yang lebih hebat dan pentas dimana kumpulan-kumpulan penyokong terkenal Asia bersaing. Inilah peluang untuk penyokong Harimau Selatan menunjukkan kepada dunia kesetiaan dan semangat kita yang unik.
Penyokong Harimau Selatan terutama BOS mula mencipta nama di peringkat ACL ketika mereka bertandang ke Osaka pada 2016 menentang Gamba Osaka. Biarpun tidak ramai tetapi seluruh Asia dapat menyaksikan sendiri keghairahan penyokong kelab JDT.
Suara sorakan yang boleh didengari di televisyen serta aksi mereka mendapat perhatian peminat bola sepak Asia. Ketika itu semua sedar bahawa kelab kerdil ini sebenarnya mempunyai penyokong yang ghairah dan bersemangat mendukung pasukan.
Untuk 2019, penyokong kelab JDT bukan hanya akan ke satu venue tetapi tiga venue tempat lawan. Ramai yang sudah mula menyimpan wang dan memasang angan-angan untuk turut serta menjadi sebahagian dari sejarah kelab JDT.
Penyokong JDT juga mempunyai rekod yang baik di rantau Asia. Kunjungan ke Thailand, Vietnam, Filipina, Indonesia malah ke Tajikistan berlangsung dengan tertib dan aman. Penyokong lawan berasa selesa untuk berkongsi gelanggang sorak bersama-sama.
Ayuh semua penyokong Harimau Selatan, sama-sama gegarkan Asia dan kekalkan disiplin ketika berkunjung ke tempat lawan. Buktikan kita ghairah tetapi tertib. Anda bukan sahaja membawa nama baik kelab tetapi juga nama negeri Johor Darul Ta’zim.
Sumber artikel: Media JST
Hidup Johor Demi Johor
Ulasan
Catat Ulasan