VIDEO: Junior Eldstal Ucap Terima Kasih & Selamat Tinggal Malaysia

Dalam sebuah video yang dimuat naik sebentar tadi, pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) mengucapkan selamat tinggal kepada Malaysia.
Dengan nada sebak, pemain tersebut mengesahkan beliau akan kembali ke UK.
Dalam ucapan berdurasi 2:07 minit itu, Junior turut mengucapkan terima kasih kepada beberapa individu yang memainkan peranan penting sepanjang karier beliau di Liga Malaysia.
Perkara tersebut sekaligus mengesahkan beliau tidak akan bersama JDT pada musim akan datang.
Antaranya ialah bekas penyerang import Sabah, Scott Ollerenshaw yang mengesan bakat beliau, sebelum membantu beliau mendapatkan pasukan di negara ini.
Junior menyertai Sarawak pada 2013 ketika era Robert Alberts dan membantu skuad Bujang Senang menjuarai saingan Liga Perdana pada musim itu dengan rekod tanpa kalah.
Turut berada di dalam senarai individu yang dinyatakan penghargaan oleh Junior ialah Tunku Mahkota Johor, DYAM Tunku Ismail  Sultan Ibrahim (TMJ) yang memberi peluang kepada pemain tersebut untuk beraksi bersama JDT.
Individu-individu lain yang dinyatakan penghargaan ialah Datuk K. Rajagopal dan Datuk Ong Kim Swee yang memberi peluang kepada beliau untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Tidak ketinggalan, Junior turut merakamkan ucapan terima kasih buat rakan sepasukan dan penyokong bola sepak di Malaysia atas sokongan yang diberikan kepada beliau sehingga kini.
Untuk rekod, Junior menyarung jersi skuad B-23 negara sebanyak 11 kali. Manakala bersama skuad senior, Junior turut tampil dalam sembilan perlawanan sehingga 2014.
Pemain berusia 27 tahun ini sering dibayangi oleh beberapa siri kecederaan sepanjang karier beliau di Liga Malaysia.
Bagaimanapun, beliau adalah seorang pemain yang digemari di kalangan penyokong kerana kesungguhan dan kebolehan yang ditampilkan, tanpa mengira kawan mahu pun lawan.
Mengakui tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan, Junior juga tidak mengesahkan sama ada beliau akan meneruskan karier bola sepak di UK selepas ini.
Saksikan video tersebut melalui pautan di bawah:

Ulasan