Tugas rumit jumpa TFC - Hariss


HARISS Harun
JOHOR BAHRU: Kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Hariss Harun mengakui berdepan tugas rumit menentang Terengganu FC (TFC) yang memiliki kelebihan laman sendiri pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.
Hariss berkata, walaupun pasukan itu kembali beraksi dalam Liga Super musim ini, kematangan mereka tampak begitu ketara selepas berakhir di tangga kelima.
Dia yang menyambung kontrak selama dua musim lagi bersama JDT hingga 2021, mengingatkan rakan sepasukan supaya berwaspada dengan corak permainan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim yang dibarisi pemain hebat terutama pemain import, Lee Tuck dan Kipre Tchetche.
“Menentang TFC sememangnya sukar ditambah pula berdepan penyokong fanatik pasukan itu selain keadaan padang yang kurang elok. Kami kena beri sepenuh tumpuan dalam perlawanan itu dan cuba untuk meraih keputusan positif.
“Kelebihan kami akan digunakan sepenuhnya untuk mengintai kemenangan di tempat lawan dan persiapan bagi separuh akhir pertama tampak berjalan lancar dengan kami sentiasa berada dalam keadaan fizikal dan mental yang mantap.
“Ketika kami menentang TFC dalam liga, saya lihat pasukan itu gemar melakukan serangan di bahagian tengah menerusi Lee Tuck dan sebab itu saya anggap pemain itu berbahaya,” katanya.
Dalam dua pertembungan liga musim ini, Harimau Selatan menang 1-0 dan 2-0 namun Hariss menganggap saingan Piala Malaysia lebih mendebarkan kerana ia pertembungan kalah mati.
Katanya, JDT tidak boleh mengambil mudah berdepan skuad Penyu memandangkan pasukan itu pasti mahukan kemenangan apabila beraksi di tempat sendiri namun lawan juga perlu bimbang dengan penampilan JDT yang mungkin berbeza.
“Semangat menewaskan Pahang dengan agregat 3-1 akan dibawa ke Kuala Terengganu dan selaku juara bertahan kami tidak boleh selesa sebaliknya memperkemaskan diri serta tampil dengan aksi terbaik kerana jika leka walau sesaat, kami pasti dihukum,” kata Hariss.

Ulasan