TMJ Terima But Khas Tempahan Nike Persis Milik Harry Kane


Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dikhabarkan bakal menerima sepasang but khas ‘golden Hypervenom Phantom III’ daripada jenama sukan terkemuka dunia, Nike.
But ini sebenarnya direka khas untuk penyerang England, Harry Kane kerana muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan Piala Dunia di Rusia bulan lalu tetapi Nike difahamkan turut akan memberikan rekaan yang sama kepada Tunku Ismail dengan berlogokan JDT.
Harry Kane memakai but tersebut ketika perlawanan pembukaan UEFA Nations League menentang Sepanyol bulan lepas. Ia merupakan satu penghormatan bagi Kane untuk merasmikan but yang diperbuat daripada teknologi terkini itu.
Meskipun diperli oleh pengikut laman Twitter baginda kerana meletak gambar yang diedit dengan logo JDT, Tunku Ismail menjelaskan pihak Nike sememangnya melakukan rekaan but yang sama milik Harry Kane untuknya dan baginda berterima kasih kepada mereka.
Hypervenom 3 adalah inovasi terbaik dari Nike dan ia bakal turut mendapat perhatian di Asia Tenggara. Ketika strategi bola sepak dan taktik berkembang serta jaringan gol kekal jadi keutamaan, Nike tetap terus berusaha dengan teknologi baharu dan mencipta inovasi untuk kasut sempurna yang mampu menampilkan persembahan maksimun penyerang bagi meraih kemenangan dengan mencetak gol.
“Dan hasil yang kami peroleh daripada Hypervenom 3 sangat mengagumkan, apabila melahirkan inovasi terbaik bagi membantu meningkatkan prestasi pemain di padang,” kata pengurus pemasaran Nike Asia Tenggara.
Bersesuaian dengan slogan – potong, serang, jaring, but ini yang disasarkan untuk membantu pemain menjaringkan gol selepas mengalami perubahan radikal terutama dari segi tapak dan pengenalan Flyknit, turut melancarkan gerakan menggelecek lawan.
Penggunaan kabel Nike Flywire yang diatur sesuai dengan keinginan, menyaksikan penggunaan Hypervenom 3 sentiasa selesa sehingga seolah-olah ia melekat di kaki. Tapak baru Hyper-Reactive juga sentiasa membantu ketika berlari.
Nike Hypervenom 3 yang dijual dalam high cut dan low cut kini boleh didapati di kedai sukan TFC Pertama di Kompleks Pertama serta Al-Ikhsan KL Festival City dan Sunway Pyramid, Kuala Lumpur.

But baharu ini dijangka mendapat perhatian ramai berikutan teknologinya yang pelbagai selain beratnya hanya 196 gram, kurang 17 peratus berbanding edisi awal sebelum ini.

Ulasan