Tiga Tips Untuk Mengalahkan JDT - Mat Zan Mat Aris

Setiap kali apabila satu-satu pasukan akan menentang JDT, pasti ada pakar-pakar lain datang membantu dengan memberikan tips dan rahsia bagimana mahu mengalahkan JDT atau mendedahkan kelemahan-kelemahan JDT.

Mat Zan Mat Aris turut ingin membantu Terengganu FC yang akan bertemu JDT Sabtu ini. Ikuti laporan seterusnya di : Berita Harian


Menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT), Sabtu ini, bekas 'orang besi' skuad Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris berkongsi tiga tips penting buat pemain Terengganu FC (TFC).


Mat Zan yang membimbing skuad Penyu menjulang Piala Malaysia buat kali pertama pada 2001 - selepas 80 tahun mencuba, menasihatkan anak buah Irfan Bakti Abu Salim supaya tidak mempedulikan sorakan keramat penyokong Harimau Selatan di laman mereka.


Dalam aksi separuh akhir pertama di Kuala Terengganu, TFC menang tipis 1-0 dan bakal berdepan lautan penyokong JDT di Stadium Larkin bagi memburu slot ke pentas akhir.

Satu lagi saingan separuh akhir menyaksikan Perak membawa bekalan selesa untuk bertandang ke Kota Kinabalu, selepas menang besar 5-0 ke atas Sabah, di Stadium Ipoh.


“Peluang TFC untuk layak ke final tetap ada, cuma sebagai bekas jurulatih (musim 2001 dan 2002) saya nak berpesan supaya pemain lebih berdisiplin di padang, kerana itu adalah antara kunci utama yang perlu ada dalam diri mereka.


“Keduanya, pemain perlu mengikut segala percaturan dan strategi jurulatih, kerana mereka sudah pasti mengkaji corak permainan lawan terutama bagi aksi penting seperti ini.


“Perkara ketiga ialah, jangan sesekali melakukan sebarang kesilapan, sebaliknya perlu fokus, tingkatkan komunikasi sesama sendiri kerana padahnya cukup besar buat pasukan,” kata Mat Zan yang memulakan kariernya sebagai jurulatih bersama skuad DBKL pada 1996.

Bekas pemain kebangsaan era 1970-an itu yang pernah membimbing Melaka United, Harimau Muda B, Kuala Lumpur, KL Plus, Pos Malaysia, PJ Rangers dan Telekom Melaka turut mengharapkan percaturan Irfan Bakti akan menjadi.


“Pemain mesti kuatkan mental dan fizikal serta berani menguasai bola dan tenang. Jurulatih juga perlu bijak merencana strategi dan taktikal ampuh, tetapi saya percaya pengalaman Irfan Bakti adalah ramuan terbaik dan TFC mampu melakukan kejutan.


Beliau meramalkan peluang kedua-dua adalah 50-50, namun jika pengalaman dimiliki pemain TFC digunakan sebaik mungkin, selain kebijaksanaan jurulatih membaca corak permainan lawan, skuad Penyu mampu melangkah ke perlawanan akhir.

Ulasan