Tiga pasukan risik Irfan Bakti



Irfan Bakti Abu Salim. - Foto Owee Ah Chun

KUALA TERENGGANU: Selepas pemain Terengganu FC (TFC) dikatakan mula dipancing pasukan lain, pengendali skuad itu, Irfan Bakti Abu Salim mengakui beliau juga turut dirisik untuk mengharungi saingan musim 2019.
Namun bekas jurulatih kelab Persipura Jayapura, Indonesia berusia 67 tahun ini tidak menganggap lamaran itu akan menyebabkan fokusnya terganggu menjelang separuh akhir kedua Piala Malaysia, bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT), Sabtu ini.
Sebaliknya pengendali yang membantu TFC beraksi semula pada pentas Liga Super musim ini selepas muncul naib juara Liga Perdana musim lalu, menyifatkan tawaran itu adalah perkara biasa.
Ini kerana katanya, setiap pasukan akan melakukan persiapan termasuk memburu pemain dan jurulatih sebelum berakhirnya musim Liga Malaysia (Liga M).
"Setakat ini sudah ada tiga pasukan menawarkan kontrak kepada saya untuk musim depan, tetapi lamaran itu tidak sesekali mengganggu persiapan saya kerana perkara itu sudah menjadi asam garam bagi jurulatih.
"Bagaimanapun saya tidak memikirkan isu itu kerana fokus utama ialah mahu membawa TFC mara ke pentas akhir dan menjuarai piala berprestij itu selepas gagal mara ke final dalam saingan FA musim ini," kata Irfan Bakti.
Setakat ini, Irfan Bakti enggan mahu mendedahkan tiga pasukan yang dikatakan berminat mendapatkan khidmatnya.
Berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) musim ini, Irfan mempunyai tugas besar untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala ke Terengganu.
"Hanya tinggal satu lagi piala musim ini. Jadi, kami mengharapkan TFC mampu menjulang trofi berprestij itu kerana peluang buat skuad kami masih terbuka luas walaupun beraksi di tempat lawan,” kata Irfan Bakti.

Ulasan