MESKIPUN Terengganu FC memiliki bekalan satu gol sebelum bertandang ke stadium keramat Johor Darul Ta'zim (JDT), hakikatnya ia masih belum selamat buat anak buah Irfan Bakti apabila turun pada aksi separuh akhir kedua saingan Piala Malaysia, 20 Oktober ini.
Bekas jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, beliau percaya defisit 1-0 yang diraih di Kuala Terengganu, Sabtu lalu itu mampu dipadamkan JDT yang sememangnya cukup 'liat' di Stadium Larkin.
Azraai yang pernah dua kali menjulang Piala Malaysia ketika bersama Kedah dari 2007-2008 yakin skuad Harimau Selatan akan turun menyerang bagi memburu gol.
"Walaupun Irfan ada berkata, beliau mempunyai kelebihan satu gol tapi bagi saya ia masih belum selamat buat Terengganu FC. Bermain di Larkin bukan mudah dan saya percaya Irfan sedar mengenai hakikat itu.
"Semua tahu kekuatan JDT yang mempunyai ramai pemain berkualiti terutama di bahagian depan. Sudah tentu JDT akan menyerang habis-habisan sambil Irfan mungkin mengharapkan serangan balas untuk mencari gol," katanya ketika dihubungi hari ini.
Terengganu yang memenangi Piala Malaysia 2001 berpeluang mara ke pentas final selepas kali terakhir merasai nikmat bahang final pada 2011 yang menyaksikan mereka tumbang 1-2 kepada Negeri Sembilan.
Pada aksi pertama, jaringan tunggal Abdul Malik Mat Ariff sudah cukup untuk memberi kelebihan kepada skuad Penyu sebelum perlawanan timbal balik nanti.
Mengulas mengenai satu lagi aksi separuh akhir membabitkan pertembungan antara Perak dan Sabah, Azraai melihat skuad kendalian Mehmet Durakovic sudah selangkah ke final susulan kemenangan besar 5-0 yang dilakar di Stadium Perak, Ipoh semalam.
"Perak boleh dianggap sudah sebelah kaki ke final dan Mehmet mungkin boleh mencatur strategi berbeza dengan merehatkan beberapa pemain untuk menghadapi final nanti.
"Tapi kena berhati-hati juga sebab Sabah sebuah pasukan yang tidak kenal erti putus asa. Motivasi mereka tinggi setiap kali bermain di Stadium Likas dan mungkin kejutan boleh berlaku kalau Perak ambil mudah aksi itu," katanya yang pernah membimbing skuad The Bos Gaurus pada musim 2013.
Ditanya ramalan pasukan mana yang akan melangkah ke final, beliau memilih Perak bagi mengisi satu slot manakala Terengganu FC dan JDT memiliki peluang seimbang yang sukar diduga.
Aksi final dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam pada 27 Oktober ini.
Ulasan
Catat Ulasan