KUALA TERENGGANU: Bagi memastikan pemain skuad Terengganu FC (TFC) terus 'panas', Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengaturkan perlawanan persahabatan berdepan kelab dari India, East Benggal FC.
Perlawanan pemanas badan menjelang separuh akhir kedua Piala Malaysia itu dijadualkan berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan, pada petang Ahad ini.
Penolong jurulatih TFC, Mohamad Nik berkata, aksi persahabatan itu penting buat skuadnya bagi menilai kelemahan dan kekuatan pasukannya menjelang aksi menentang Johor Darul Tazim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, di Larkin pada 20 Oktober ini.
“Pada aksi pertama, kita mengesan beberapa kelemahan yang perlu diatasi segera bagi menyaingi kekuatan lawan yang sudah pasti lebih bersedia kali ini.
“Kami juga mahukan semua pemain belajar dan mengutip pengalaman bertemu naib juara Liga India 2017/2018 itu dan menggunakan kesempatan ini dengan mempamerkan corak permainan terbaik termasuklah menguatkan fizikal dan mental.
“Aksi ini juga boleh dikatakan sebagai sesi pemanas badan bagi mengelak pemain ‘sejuk' selepas pusingan pertama,” kata Mohamad.
TFC menang tipis 1-0 dalam aksi separuh akhir di Kuala Terengganu, hasil jaringan Abdul Malik Mat Ariff.
Bekas pemain Terengganu itu yang lebih mesra dipanggil Coach Nik bagaimanapun mengharapkan pemainnya lebih bijak menggunakan peluang bermain dalam aksi itu dan cuba mengelak daripada berlakunya kecederaan dalam aksi persahabatan.
“Kami akan beri peluang kepada semua pemain dalam perlawanan itu, namun mereka perlu mengelak daripada berlakunya kecederaan,” katanya merujuk kepada situasi yang menimpa pemain pertahanan, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris yang terpaksa berehat panjang.
Skuad TFC yang dikenali pasukan Terengganu sebelum penjenamaan semula pasukan itu musim ini merangkul piala berprestij itu pada 2001 dengan menewaskan Perak di pentas akhir.
Ulasan
Catat Ulasan