PENYERANG Johor Darul Ta'zim (JDT), Fernando Andres dikawal ketat oleh pertahanan Terengganu, Igor Zonjic pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Larkin, di sini hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
KUALA LUMPUR 20 Okt. - Terengganu mengesahkan tiket ke final Piala Malaysia selepas mencatat kemenangan agregat 3-2 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir kedua kejohanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Skuad Harimau Selatan terlebih dahulu di depan setelah Fernando Andres Marquez menyempurnakan penalti pada minit ke-40 sebelum Gonzalo Cabrera mengukuhkan kedudukan pada minit ke-62.
Bagaimanapun, penyerang Ivory Coast, Tchetche Hermann muncul wira Terengganu apabila meledak dua gol masing-masing pada minit ke-68 dan minit kecederaan untuk mengikat JDT 2-2 masa penuh permainan.
Terengganu layak selepas mereka memiliki kelebihan satu jaringan setelah menewaskan JDT 1-0 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 6 Oktober lalu. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan